Anda di sini

Nadi Kehidupan

Advertisement
 

Oleh Za’abaie Haji Shuaini

 

“Bagaimana, dapatkah kita selesaikan masalah ini sebelum tengah hari atau seawal yang mungkin?”

      “Insya-Allah, akan diusahakan Tuan.”

      Mendengar jawapan dan keyakinan Dhani, Tuan Pengurus merasa lega. Dia tak pernah meragui kemampuan Dhani dalam menangani masalah yang bersangkut paut dengan pekerjaannya. Ketika ini, perhatian penuh ditumpukan kepada masalah yang sedang dihadapi. Diharapkan Dhani dan rakan-rakannya dapat menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin. Selagi tidak selesai, banyak tugasan yang akan tertangguh dan syarikat pula pasti kerugian jutaan ringgit kerana tiada pengeluaran.

      Tuan Pengurus memberi kepercayaan penuh dan sokongan moral kepada Dhani dan rakan-rakannya untuk menaikkan semangat mereka. Tidak kedengaran ayat-ayat memaksa atau mendesak mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan cepat. Dia tahu bukan mudah untuk menyelesaikan masalah yang jarang sekali berlaku. Memaksa bererti memberi tekanan kepada mereka semua. Itu bukan cara yang terbaik dan boleh mengganggu tumpuan. Sebagai pekerja paling kanan dalam organisasi dan berpengalaman, kemampuan Dhani dan seorang rakannya, Moses untuk menangani masalah yang sedang dihadapi tidak diragui. Setahu aku, ini bukan kali pertama. Persoalannya sekarang, adakah mereka berdua akan berhasil menyelesaikan masalah yang kedengarannya agak rumit? Itu yang merisaukan kami semua.

      Semua pekerja di lapangan sibuk dengan tugasan masing-masing. Tugas rutin kami sambung semula dan dibereskan dengan secepat mungkin. Masalah yang dihadapi, entah bila akan selesai. Yang ditakuti, berlarutan sehingga ke petang dan hari seterusnya. 

      Satu persatu peralatan komunikasi kuperiksa. Satu-satunya telefon satelit yang ada, aku pastikan baterinya sudah dicas penuh. Alhamdulillah, semuanya masih berfungsi. Radio mudah alih yang dikhaskan untuk kecemasan dan telefon satelit, aku letakkan di atas rak khas. Semuanya aku persiapkan untuk sebarang kemungkinan. Menjadi tanggungjawabku untuk memastikan semua peralatan komunikasi yang menjadi nadi perhubungan berfungsi dengan baik. Kegagalan berfungsi boleh mendatangkan masalah ketika diperlukan. Itu yang mesti dielakkan.

      “Dhani, tolong maklumkan perkembangan terkini kerja-kerja kamu...”

      Kedengaran suara Tuan Pengurus memanggil Dhani di corong radio. 

      “Kami masih berusaha Tuan...”

      “Teruskan usaha dan maklumkan perkembangannya kepada saya dari masa ke masa. Jika keletihan, berehatlah dahulu...” saran Tuan Pengurus.

      Nampak kerisauan di wajah Tuan Pengurus. Aku dan rakan-rakan sekerjaku pun turut sama kerisauan. Masalah yang berlaku sememangnya tidak kami jangka. Seingat aku, masalah sebegini pernah terjadi beberapa tahun dahulu tetapi tidak serumit hari ini. Sebelumnya, kerja-kerja penyelenggaraan Janakuasa Turbin Gas (GTG) dimulakan seawal pukul 08:00. Mengikut perancangan, sebelum tengah hari semuanya akan selesai. Dalam setahun, jana kuasa tersebut akan diselenggara sepenuhnya setiap 6 bulan sekali untuk memastikan ia berfungsi dengan efisien. Suasana gelap, tandanya kerja-kerja penyelenggaraan GTG telah bermula. Setelah beberapa minit, lampu masih belum menyala. Sepatutnya, apabila jana kuasa tersebut padam, penjana diesel kecemasan (EDG) yang bertindak sebagai jana kuasa sokongan akan hidup secara automatik. Tetapi itu tidak terjadi. 

       “Dhani, apa yang terjadi? Kenapa tiada bekalan elektrik?” terdengar Tuan Pengurus memanggil Dhani menggunakan radio mudah alih.

      “EDG tidak hidup secara automatik Tuan. Kami akan cuba hidupkan secara manual.”

       “Jika tidak hidup juga, apa langkah seterusnya?”

      “Kami usahakan dahulu, jika tidak berjaya nanti kita bincangkan tindakan seterusnya...” 

      Cahaya di dalam kuarters kediaman (LQ) yang menempatkan pejabat, bilik kawalan, bilik radio, bilik peralatan radio dan bilik suis agak samar.. Lampu hanya dinyalakan di kawasan tertentu sahaja. Begitu juga peralatan elektrik dan elektronik, hanya bahagian tertentu sahaja berfungsi. Semuanya dihidupkan dengan kuasa dari sumber Bekalan Kuasa Tidak Terganggu (UPS). Mustahil untuk menghidupkan kesemua lampu dan peralatan berkuasa elektrik dengan kuasa yang terhad. Jangka hayat UPS pula tergantung pada prestasinya dan jumlah penggunaan peralatan elektrik dan elektronik. Tuan Pengurus tercegat di depan pejabatku. Dia arahkan aku untuk membuat pengumuman berkenaan masalah yang terjadi.

      “Perhatian kepada semua, untuk makluman, ketika ini kita menghadapi masalah bekalan elektrik kerana jana kuasa tidak berfungsi. Buat sementara waktu, bekalan elektrik disalurkan melalui UPS. Untuk menjimatkan penggunaan, diminta matikan kesemua peralatan elektrik dan elektronik yang tidak digunakan. Terima kasih atas kerjasama anda semua.”

      Di koridor, kulihat Dhani, Moses dan Penyelia Kerja berjalan menuju ke pejabat Tuan Pengurus."Pasti ada yang tak kena ni..." kata hatiku sambil bergerak ke koridor.

      Dari ruang kerjaku, aku dapat melihat mereka berempat sedang berbincang sebelum keluar semula untuk menyambung kerja-kerja yang terhenti. Dari apa yang kudengar, Dhani akan hidupkan semula GTG. Setelah semuanya kembali normal, mereka akan mencari punca kenapa EDG tidak hidup. Doaku semoga Allah permudahkan kerja-kerja mereka.  

      Nasib tidak menyebelahi Dhani dan rakan-rakannya, GTG tidak dapat dihidupkan semula. Mereka telah berusaha sedaya upaya untuk menghidupkannya tetapi gagal. Semua kehairanan. Kedua-dua buah jana kuasa bermasalah pada masa yang sama. Seperti ada sesuatu yang mengganggu pekerjaan mereka. Hal yang tidak pernah terjadi sebelum ini. 
      “GTG belum dapat dihidupkan Tuan...” lapor Dhani.

      “Apa masalahnya?

      “Entahlah, kami dah cuba sedaya upaya tetapi gagal..” Jawab Dhani dengan nada kecewa.

      “Jika begitu tangguhkan dahulu, balik ke sini dan kita bincangkan langkah-langkah seterusnya...” arah Tuan Pengurus.

      Hawa sejuk di dalam LQ kian menyusut. Pintu utama yang ditutup rapat dan ketiadaan tingkap terbuka menghalang angin dari luar masuk ke dalam. Peralatan yang ada di dalam Bilik Peralatan Radio (RER) sudah terasa bahang panasnya. Semua kipas angin yang ada terpaksa digunakan untuk menyejukkan peralatan elektronik yang sensitif dengan kepanasan.

      Jika bekalan elektrik tidak pulih, pasti ada peralatan yang akan terpadam dengan sendirinya kerana terlampau panas terutama sekali peralatan komunikasi. Itu yang merisaukan aku. Peralatan utama yang menjadi nadi tidak boleh padam walaupun seunit. Kestabilan sistem komunikasi bergantung dengan peralatan tersebut. Andai kata terpadam, pasti bercelaru dibuatnya. Terputus talian telefon dan Internet mesti dielakkan. Kedua-duanya amatlah diperlukan sekarang.

      Setakat ini belum terdengar Dhani melaporkan perkembangan terkini kerja-kerja pemulihan. Kami semua sedang menunggu perkhabaran baik daripada beliau. Tak sanggup rasanya berada lama di dalam LQ tanpa penghawa dingin. Hawa panas mulai terasa. Aku, Tuan Pengurus dan beberapa orang rakan sekerjaku semakin resah. Seragam kerja berkain tebal yang dipakai menambahkan gelisah. Aku yang tidak pernah merasa bekerja di bawah pancaran sinar matahari sangatlah terasa akan kepanasannya. Kerana rasa kurang selesa, aku keluar sebentar dari LQ setelah mendapat keizinan daripada Tuan Pengurus. 

      Di luar, seragam kerja kubuka separuh. Baju-t nipis yang kupakai sebagai pakaian dalam dibasahi peluh. Terasa nyaman dihembus angin. Ikutkan hati, aku hendak berada lama di luar. Tetapi itu tidak mungkin. Pejabatku tidak boleh ditinggalkan terlalu lama, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Peralatan utama sistem komunikasi mesti dipantau untuk memastikan semuanya kekal berfungsi. 

      Bila dah terasa segar, aku kembali semula ke pejabatku. Aku terus bergerak ke RER yang terletak hanya beberapa langkah dari pejabatku untuk memeriksa semua sistem komunikasi. Peralatan utama yang menjadi nadi sistem komunikasi, agak panas. Pasti kipas dalaman yang ada tidak cukup untuk menyejukkan peralatan tersebut. 

      Masa terus berlalu. Tengah hari hampir menjengah. GTG belum lagi berfungsi. Semua pekerja yang bekerja di lapangan telah kembali ke LQ untuk makan tengah hari dan berehat. Dhani, Penyelia Kerja dan rakan-rakannya pun turut sama. Mereka berjalan terus menuju ke pejabat Tuan Pengurus. Melihat kedatangan mereka, aku bangun dan berjalan menuju ke hadapan pintu pejabat Tuan Pengurus. Penting untukku mendengar perbincangan mereka. Apa sahaja arahan daripada Tuan Pengurus akan cepat disampaikan kepadaku tanpa perlu menunggu.

     “Tolong hubungi pakar elektrikal kemudian sambungkan ke talian saya...”

      Aku kembali ke ruangan kerjaku sebaik sahaja mendengar arahan Tuan Pengurus. Setelah pakar elektrikal yang bertanggungjawab berjaya dihubungi, aku bergerak semula ke hadapan pintu pejabat Tuan Pengurus. Mereka akan mengadakan telesidang dengan pakar elektrikal, jurutera-jurutera elektrikal dan mekanikal serta yang berkenaan selepas makan tengah hari. Semoga dengan bantuan mereka semua masalah yang terjadi dapat diselesaikan.

      Terdengar bunyi penggera dari RER. Aku bergegas ke situ. Seunit peralatan komunikasi telah terpadam kerana terlalu panas. Penggera akan tetap berbunyi selagi unit yang terpadam tak dihidupkan kembali. Aku keluar dan tutupkan pintu bilik peralatan radio. Bunyi nyaring penggera membingitkan dan menyakitkan pendengaran. Sistem telefon dan Internet mula terganggu. Tuan Pengurus dimaklumkan tentang unit yang terpadam. Dia kelihatan risau. Gangguan sistem komunikasi berkemungkinan besar akan melambatkan rancangan mereka untuk telesidang. Peralatan terpadam mesti dihidupkan secepat mungkin. Tetapi, tiada apa yang dapat dilakukan buat masa ini. Kami terpaksa menunggu peralatan tersebut sejuk untuk dihidupkan kembali.

      Aku kembali merasa rimas dan kepanasan. Baju-t yang kupakai terasa hendak ditanggalkan. Hendak keluar untuk menyejukkan badan, keadaan belum mengizinkan. Aku kena pantau semua peralatan penting di dalam RER terutama sekali peralatan yang terpadam, mesti disejukkan secepat mungkin. Dua buah kipas angin aku halakan terus ke unit tersebut. Pembesar suara penggera kututup dengan kain buat sementara untuk mengurangkan kebingitannya.

      Setelah seketika, raungan penggera tidak kedengaran lagi. Dengan segera kukonfigurasikan semula tetapan di skrin peralatan utama. Sistem komunikasi kembali berfungsi seperti biasa. Aku maklumkan kepada Tuan Pengurus, Dhani, Moses dan Penyelia Kerja yang sudah bersedia untuk telesidang. Aku kembali ke ruang kerjaku. Komputer kuhidupkan. Aku perlu mengemas kini log aktiviti harian. Selesai sahaja, komputer kumatikan semula untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik kemudian aku bergerak menuju ke pintu utama.

      Sementara menunggu mereka berempat selesai telesidang, aku ambil kesempatan untuk kembali menikmati udara dan tiupan angin di luar. Segar dan menyejukkan badan. Terasa nak duduk lama di luar sementara menunggu keadaan pulih seperti sediakala tetapi tugasku tidak mengizinkan aku berbuat begitu. Dalam perjalanan ke pejabatku, kulihat Dhani dan Moses berada di dalam pejabat Penyelia Kerja. Mereka bertiga sedang berbincang dan meneliti panduan yang di-e-melkan oleh pakar dan jurutera elektrik. Dhani nampak keletihan. Mungkin faktor usia menampakkannya begitu. Mereka kemudian membawa semua panduan yang sudah dicetak ke lapangan. 

      Rakan-rakan yang tidak ikut serta semasa telesidang diberi penerangan oleh Dhani berdasarkan panduan yang baru diterima. Kerja membaik pulih mesti dimulakan dengan segera tanpa bertangguh. Jentera elektrik adalah nadi untuk kesemuanya. Dah lebih setengah hari tiada bekalan elektrik. Penghawa dingin tidak berfungsi. Hawa sejuk di dalam LQ telah sirna sepenuhnya. Pintu utama yang sentiasa ditutup rapat dibuka luas. Begitu juga dengan pintu kecemasan yang ada di dalam bilik kawalan. Angin menerjah masuk. Angin bertiup dari arah timur laut berbetulan dengan pintu utama. 

      Jam sudah menghampiri pukul 15:00. Penyelia Kerja, Dhani dan rakan-rakannya belum kelihatan. Aku dan Operator Bilik Kawalan, Rayan ternanti-nanti kedatangan mereka. Kami berdua perlu tahu perkembangan terkini kerja-kerja mereka. Selagi belum dimaklumkan, kami berdua tak boleh tinggalkan stesen kerja masing-masing. Tuan Pengurus memanggil aku ke pejabatnya. Tentu ada sesuatu yang nak dibincangkan atau diberitahu.

     “Perhatian kepada semua, atas arahan Tuan Pengurus; jika jana kuasa gagal dipulihkan sehingga pukul 18:00, semua kakitangan yang tidak disebut akan dipindahkan buat sementara ke pelantar sebelah kecuali kru operasi, saya sendiri, Medik dan beberapa orang kru katering. Mereka yang diarahkan berpindah, diminta membawa semua barangan peribadi dan bersedia untuk arahan selanjutnya.”

      Arahan Tuan Pengurus aku umumkan kepada semua penghuni. Keputusan berat yang diambil demi keselesaan dan keselamatan semua kakitangan yang tidak terlibat secara langsung dalam keadaan darurat atau kecemasan. Hanya kru penting sahaja yang terpaksa tinggal untuk memantau keadaan. Itu yang tak diingini. Berpindah randah dari pelantar ke pelantar bukan menyenangkan. Walau apapun, itu sahaja cara terbaik.

      Kulihat jam tanganku. Sudah pukul 16:10. Kurang dua jam sahaja lagi untuk Dhani dan rakan-rakannya menghidupkan GTG. Aku sediakan senarai nama kakitangan yang ada dalam rekod. Yang diarahkan untuk pindah sementara telah ditandakan. Selesai sahaja, aku dan beberapa orang rakan sekerjaku menuju ke surau untuk solat asar berjemaah. Selepas solat asar, kami semua bersolat hajat. Mohon Allah hindari daripada perkara yang tidak diingini. Hanya itu yang kami mampu lakukan. Hendak membantu Dhani dan rakan-rakannya, itu bukan tugas dan kepakaran kami.

      Jika GTG atau EDG tidak hidup juga, kami yang terpaksa tinggal menjaga pelantar pasti akan bergelap dan kepanasan. Aku merangka tempat selesa untuk berehat dan tidur pada sebelah malam nanti. Di dalam, rasanya tidak mungkin. Hawa panas pasti akan merencatkan lelap. Semua mengeluh kerana tidak sanggup menempuhinya. Jika itu yang ditakdirkan berlaku, pasti akan menjadi sejarah dan pengalaman pahit untuk kami semua.

      Jam menghampiri pukul 18:00. Mereka yang diarahkan berpindah sudah berkumpul di luar, menunggu arahan untuk turun ke platform pendaratan bot. Kapal laju, Cahaya 2 telah dipanggil dan bersedia untuk mengambil mereka semua. Aku dan rakan-rakanku turut sama berada di luar, menunggu arahan daripada Tuan Pengurus. Tuan Pengurus melihat jam tangannya. Sudah pukul 18:05, Dhani belum melaporkan perkembangan terkini kerja-kerja mereka. Tuan Pengurus tidak mahu mengganggu Dhani. Dia arahkan mereka yang berpindah turun ke dek bawah sementara cahaya masih terang. 

      Selang beberapa minit, terdengar bunyi enjin di lapangan. Kemudian lampu menyala satu persatu. GTG berjaya dihidupkan. Kami berpandangan sesama sendiri. Terukir senyum di bibir masing-masing. Kami bersurai, kembali ke ruangan kerja masing-masing. Yang diarahkan berpindah, naik ke atas semula dan kembali ke kabin masing-masing. Syukur alhamdulillah, yang menjadi nadi kehidupan kembali berfungsi. Semoga terus hidup tanpa gangguan. Jana kuasa seumpama jantung untuk makhluk hidup.

 
 


 

Advertisement