Anda di sini

KPT akan terus perkasa pelaksanaan Program SULUNG

Advertisement
 Noraini (tiga kiri) menyempurnakan gimik perasmian Program SULUNG bersama pengurusan tertinggi KPT.
RASMI: Noraini (tiga kiri) menyempurnakan gimik perasmian Program SULUNG bersama pengurusan tertinggi KPT.

Bakal diperluas ke 20 UA seluruh negara tahun depan, kementerian sedang usahakan peruntukan daripada kerajaan

KOTA KINABALU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperluaskan pelaksanaan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) ke semua 20 universiti awam (UA) di seluruh negara pada tahun depan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, KPT sedang mengusahakan untuk mendapat peruntukan daripada kerajaan dan juga pendanaan daripada pihak luar bagi menjamin kelestarian program berkenaan.

 Sebahagian penerima program penajaan KPT 2022.
PENERIMA: Sebahagian penerima program penajaan KPT 2022.

Katanya, pengambilan pertama Program SULUNG atau Kohort 1 bagi 2022 baru sahaja bermula bulan ini membabitkan sebanyak lapan UA sebagai perintis.

Menurutnya, ia termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

 Sebahagian daripada 50 pelajar IPT di Zon Selatan menerima PerantiSiswa.
PELAJAR: Sebahagian daripada 50 pelajar IPT di Zon Selatan menerima PerantiSiswa.

"Seramai 76 pelajar dari 115,477 permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui UPUOnline terpilih ditawarkan sebagai Siswa SULUNG. 

"Saya sendiri berkesempatan untuk turun padang ke beberapa rumah Siswa SULUNG di Johor dan Melaka bagi menyampaikan surat tawaran.

"Ada juga sebelum ini Pengurusan Tertinggi KPT yang turun menyantuni beberapa calon di Kedah, Kelantan dan Sabah. Namun, atas keterbatasan waktu, kita tidak dapat turun ke semua lokasi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Pelancaran Program SULUNG dan Penyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor pada Rabu lepas.

LOGO PROGRAM SULUNG
LOGO PROGRAM SULUNG

Noraini berkata, Program SULUNG bertujuan memberi peluang kepada generasi pertama dalam kalangan keluarga B40 yang belum ada ahli keluarga melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan ke atas.

Katanya, Siswa SULUNG yang terpilih menyertai program berkenaan bukan sahaja diberikan laluan khusus kemasukan ke UA, tetapi turut ditawarkan bantuan kewangan.

"Ia dalam bentuk derma siswa merangkumi yuran pengajian, yuran-yuran berkaitan, elaun serta bantuan seperti Elaun Sara Hidup dan bantuan komputer riba. 

"Di samping itu, kemudahan asrama sepanjang tempoh pengajian turut disediakan untuk Siswa SULUNG, selain mendapat bimbingan daripada Pembimbing SULUNG dan Penasihat Akademik bagi memastikan pelajar-pelajar ini dapat fokus kepada pengajian.

"Kita juga akan bantu dari segi meningkatkan kebolehpasaran graduan Siswa SULUNG ini melalui kerjasama dengan pihak industri bagi memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik sebaik tamat pengajian nanti," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, KPT turut menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada kumpulan sasar yang merangkumi tenaga pengajar di institusi awam dan orang awam yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat termasuk sijil hingga ke ijazah lanjutan.

Menurutnya, bagi pegawai yang sedang berkhidmat seperti tenaga pengajar di UA, politeknik dan kolej komuniti serta pegawai bukan akademik di UA, KPT menyediakan Skim Latihan Akademik Bumiputra (SLAB), Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI), Sub-Kepakaran, Pasca Kedoktoran dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Selain itu jelasnya, bagi orang awam yang berkelayakan pula, KPT turut menawarkan program seperti MyBrain Science (MyBrainSc), Biasiswa Atlet Cemerlang IPT, Tokoh Siswa dan Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik.

"Bagi mereka yang datang dari keluarga B40, KPT turut menawarkan Bantuan Kewangan Asasi dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti (BKPKK), manakala untuk golongan orang kelainan upaya (OKU), kita ada Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) dan Program Pendidikan Khas (PPK).

"Terkini, Program Dermasiswa B40 TVET dilancarkan khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET.

"Bagi menjayakan inisiatif pemberian biasiswa dan bantuan kewangan secara bersasar ini, setiap tahun peruntukan kewangan yang besar disediakan oleh kerajaan kepada KPT," katanya.
Beliau berkata, tahun ini sahaja, sebanyak RM150 juta diperuntukkan untuk penajaan pendidikan kepada seramai 30,314 pelajar. 

Noraini turut berpeluang menyerahkan surat tawaran program-program penajaan KPT kepada para pelajar yang berjaya terpilih dan berharap ia akan memberikan suntikan semangat kepada para pelajar untuk lebih berjaya dalam pengajian.

Pada majlis itu, rakan strategik KPT iaitu Lembaga Tabung Haji (LTH) menyampaikan sumbangan dana zakat berjumlah RM12 juta kepada 20 UA masing-masing RM600,000 menerusi program Iqra’ TH.

Menurutnya, Program Iqra' TH adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) LTH yang akan memanfaatkan seramai lebih 30,000 pelajar dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di universiti bagi menampung kos pengajian mereka.

Beliau berkata, melalui pembekalan tablet di bawah inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia, selepas permohonan Fasa 2 ditutup pada 30 September lepas, sebanyak 474,311 permohonan diterima di seluruh negara.

Katanya, sehingga 20 Oktober 2022, sebanyak 291,096 permohonan diluluskan, iaitu lebih 61 peratus daripada jumlah permohonan. 

"KPT menjangkakan pengagihan peranti yang lulus ini akan disempurnakan dalam tempoh dua bulan secara berperingkat.

"Kita sudah melaksanakan pengagihan di beberapa IPT mengikut zon sebelum ini seperti di UMS, UKM, UTM, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Kampus Besut, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Hari ini juga, seramai 50 pelajar IPT di Zon Selatan mewakili pelajar dari UA, politeknik, kolej komuniti dan IPTS di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Johor akan menerima PerantiSiswa," tambahnya.

Beliau berkata, kaunter tuntutan turut dibuka di UTHM untuk membolehkan pelajar yang lulus permohonan mendapatkan peranti mereka.

Sehubungan itu, Noraini mengingatkan kepada penerima PerantiSiswa supaya memanfaatkan peranti percuma berkenaan untuk memudahkan pengajian dan menganggapnya sebagai amanah yang harus dijaga serta tidak disalah guna.
 

Advertisement