Anda di sini

Khidmat jagaan paliatif perlu diperluas ke Sibu: Ting

Advertisement
Ting (dua kiri) menerima cenderamata selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Paliatif Borneo 2022 di Sibu, hari ini.
Ting (dua kiri) menerima cenderamata selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Paliatif Borneo 2022 di Sibu, hari ini.

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting menyeru kerajaan negeri dan persekutuan supaya memperluaskan perkhidmatan pakar paliatif ke sini.

Menurutnya, rawatan paliatif ketika ini sangat diperlukan bagi membantu pesakit yang berhadapan dengan fasa terakhir dalam kehidupan.

"Saya harap perkara ini diberi perhatian segera oleh kerajaan negeri dan persekutuan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Penjagaan paliatif adalah perdekatan perubatan bagi meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga mereka yang berdepan penyakit mengancam nyawa," ujarnya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau mewakili Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian merasmikan Persidangan Penjagaan Paliatif Borneo 2022 di sebuah hotel di sini.

Ting berkata, adalah sangat menyedihkan sekiranya perkhidmatan seumpama itu tidak diperluaskan ke Sibu.

"Saya sendiri sudah menyaksikan bagaimana ibu harus menjaga ayah yang sedang bertarung nyawa dengan penyakit kanser. Ia sangat memenatkan. 

"Apabila ada perkhidmatan sebegitu di sini, maka kita tidak perlu ke Kuching... Kuala Lumpur kerana ia sangat membebankan (keluarga pesakit) dari segi masa dan juga kewangan," jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah Hospital Sibu Dr Nanthakumar Thirunavukkamar menjelaskan ketika ini Unit Penjagaan Paliatif Hospital Sibu diuruskan oleh jururawat terlatih.

Katanya, perkhidmatan tersebut bagaimanapun agak terhad kerana kekurangan kakitangan.

"Sebab itu, kita hari ini bawa pelbagai pakar ke persidangan untuk membincangkan bagaimana hendak memperkembangkan perkhidmatan tersebut ke  sini.

"Kita juga cuba mencari jalan untuk perkembangkan perkhidmatan tersebut ke peringkat klinik kesihatan supaya pesakit yang telah didiagnosis kanser dan dibenarkan pulang diletakkan di bawah kesihatan awam untuk rawatan susulan," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun menyeru lebih ramai orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO) membantu KKM.

Katanya, tanggungjawab menyediakan perkhidmatan penjagaan paliatif ini hanya diberikan oleh KKM.

"Penyertaan orang awam termasuk NGO dapat membantu memperluaskan lagi perkhidmatan itu di sini," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement