Anda di sini

Kesilapan kewangan pasangan muda yang baru berkeluarga

Advertisement
 


⦁    Jika anda risau melakukan kesilapan, dapatkan tips kewangan di sini!
MEMASUKI gerbang perkahwinan dan memulakan keluarga baharu merupakan perkara yang mengujakan. 
Dalam membina kehidupan berkeluarga, perancangan dan persiapan yang lengkap diperlukan sebelum anda menggalas tanggungjawab ini, terutamanya dari segi kewangan.
Namun, sesetengah mereka tidak mempunyai persiapan dan perancangan  kewangan yang baik. 
Sekiranya anda tidak bersedia, ia akan memberi tekanan dan akan mengganggu hubungan bersama pasangan anda.
Salah satu punca utama penceraian di Malaysia adalah berkahwin tanpa perancangan kewangan yang kukuh.
Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia merekodkan 17,359 kes penceraian yang disebabkan oleh masalah kewangan dari 2013 hingga Mei 2019.
Elakkan melakukan kesilapan kewangan yang berikut semasa anda merancang kewangan keluarga anda.

⦁          Pasangan Muda Yang Baru Berkeluarga, Elak 6 Kesilapan Kewangan Ini
1. Biar papa asal bergaya

Kebanyakan pasangan muda mempunyai senarai impian atau harta benda yang diidamkan demi memenuhi kehendak gaya hidup moden mereka. 
Antara kesilapan yang mereka sering lakukan adalah: 
• mengutamakan kemewahan seperti kenderaan, pakaian dan makanan
• mengikuti trend terkini seperti hiasan rumah, gaya fesyen dan gajet
• membandingkan perbelanjaan dengan kehidupan orang lain terutamanya apa yang terpapar di media sosial 
Corak pemikiran sebegini boleh membuatkan anda mudah lupa tentang matlamat kewangan dan kos kehidupan sebenar. Sebagai contoh, tujuan mempunyai kenderaan adalah untuk memudahkan pengangkutan seharian.
Namun, kebanyakan pasangan muda mudah tewas kerana lebih mementingkan kehendak mereka untuk memiliki kenderaan mewah walaupun sedar ia di luar kemampuan sebenar.
Sesuai dengan pepatah ‘biar papa asal bergaya’ kerana lebih sanggup berhabis wang agar nampak gaya hidup kekal mewah. 
Setiap perbelanjaan, baik kecil atau besar, haruslah dibuat berdasarkan kesejahteraan dan kestabilan kewangan keluarga anda. Kebahagian tidak bersandar pada harta, kedudukan ataupun wang ringgit.
Sebaliknya, kebahagian adalah kesederhanaan yang dapat memberikan ketenangan minda berpanjangan terutamanya dari segi kewangan. 

2. Tabiat berbelanja melebihi pendapatan

Lumrah apabila kita melihat orang lain memiliki pelbagai barangan mewah di media sosial, kita mungkin akan turut terpengaruh untuk berbelanja sedemikian.
Ia mungkin boleh membawa padah buruk jika anda terus mengamalkan tabiat perbelanjaan sebegini dalam kehidupan rumahtangga anda.
Seandainya anda tidak mempunyai baki simpanan pada akhir bulan, maka anda perlu menilai semula cara perbelanjaan.
Keadaan lebih membahayakan kini kerana terdapat kemudahan platform e-dagang yang menyediakan pelbagai jenis promosi dan jualan pada harga yang sangat murah. 

⦁          Elakkan kesilapan berikut semasa merancang kewangan keluarga anda
Elakkan melakukan kesilapan perbelanjaan berikut: 
• Menggunakan kad kredit untuk perbelanjaan besar yang anda tidak mampu
• Menambah komitmen hutang melalui pembayaran ansuran bulanan
• Membeli pakaian, mainan, permainan video dan gajet untuk kegunaan anak-anak  bagi tempoh yang singkat
• Berbelanja dalam talian mengikut kehendak semasa jualan murah tanpa membuat bajet dahulu
Tip: Jika aplikasi dalam talian sering merosakkan tabiat perbelanjaan bulanan, mengikut petua kalis belanja Encik Kedek dalam video #BorakBerUang, ambil masa untuk pertimbangkan pembelian tersebut.
Fikir 3 hari 3 malam sebelum membuat keputusan membelinya, kemungkinan anda sedar tidak memerlukannya.
Jika anda masih terfikir-fikir, cara terbaik ialah padam aplikasi tersebut!
Anda juga digalakkan untuk membuat senarai barangan dahulu sebelum terjebak dengan perbelanjaan impulsif. 
Sebagai pasangan suami isteri, anda perlu membuat perancangan mengenai pembelian besar supaya dapat mengawal perbelanjaan bersama dan mengekalkan keharmonian perkahwinan.

3. Tiada persiapan perbelanjaan pendidikan anak-anak

Tatkala anak-anak anda membesar, tanggungjawab kewangan anda turut meningkat. Proses membesarkan seorang anak sehingga mereka mencapai umur dewasa boleh menelan perbelanjaan sehingga RM400,000, termasuklah pendidikan di universiti.
Mujur, anda tidak perlu mengeluarkan jumlah tersebut secara serentak namun anda memerlukan tempoh yang lama untuk mencapai jumlah tersebut.
Kos pendidikan awal sehingga ke pengajian tinggi termasuklah:
• Tadika, prasekolah, program perkembangan minda
• Pelbagai jenis yuran sekolah, pakaian sekolah, pengangkutan dan makanan 
• Yuran universiti termasuklah pengangkutan, bilik/rumah sewa
Tip: Anda boleh mula merancang perbelanjaan pendidikan anak anda dengan memohon akaun SSPN-i PTPTN untuk setiap seorang anak dan menikmati faedah pelepasan cukai pendapatan pada masa yang sama.
Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menguruskan kewangan anak anda sehinggalah mereka mencapai umur dewasa. 
Jika sesuatu berlaku kepada anda, sekurang-kurangnya dengan persediaan mungkin anda akan dapat terus membantu mereka.

4. Tiada perlindungan insurans

Sudah menjadi lumrah kehidupan untuk melindungi diri sendiri dan keluarga tersayang daripada perkara-perkara yang tidak diingini.
Memiliki perlindungan insurans nyawa dan kesihatan amat penting dalam kalangan keluarga muda, terutamanya yang berpendapatan rendah.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan hanya 22 peratus rakyat Malaysia mempunyai insurans kesihatan. Ini bermakna kebanyakan rakyat Malaysia hanya bergantung kepada perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh pihak kerajaan jika mereka jatuh sakit atau menghidapi penyakit kritikal. Sekiranya jatuh sakit, anda mungkin tidak dapat menyara kehidupan keluarga anda, bukan?
Dengan memiliki insurans nyawa dan kesihatan, anda sebenarnya telah mewujudkan jaringan keselamatan untuk keluarga. 
Tip: Gunakan kelebihan perlindungan insurans dan perubatan yang disediakan oleh majikan anda.
Sebagai contoh, lakukan pemeriksaan kesihatan dan dapatkan rawatan di klinik atau hospital panel yang disenaraikan oleh majikan.
Walau bagaimanapun, sebaiknya anda perlu mempunyai insurans sendiri kerana kemudahan majikan hanya boleh digunakan ketika anda masih terikat dengan majikan tersebut.

5. Pelaburan yang berisiko

Kebanyakan pasangan muda hari ini tidak melakukan penyelidikan yang teliti sebelum membuat pelaburan, terutamanya mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia pelaburan.
Satu lagi kesilapan yang kerap dilakukan adalah melabur kesemua wang dalam satu jenis pelaburan.
Ia amat berisiko kerana jika sesuatu perkara berlaku kepada pelaburan tersebut, mereka akan kehilangan kesemua wang yang dilabur. 
Sebagai alternatif kepada pelaburan risiko tinggi, anda boleh melabur melalui pelaburan tunai dan faedah tetap atau melalui pelaburan unit amanah.
Apa yang penting adalah persiapan diri dalam ilmu asas pelaburan sebelum memulakan sebarang portfolio.
Lakukan penyelidikan terlebih dahulu dan pilih urus niaga bersama syarikat atau platform yang diiktiraf dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti.
Ingat, semakin tinggi jangkaan pulangan, semakin besar risiko anda.
Jadi, jangan lupa untuk semak semula risiko dan pulangan pelaburan anda.

6. Tiada simpanan kecemasan

Sememangnya agak sukar bagi sesebuah keluarga muda untuk memulakan kehidupan bersama pasangan baharu dan perlu menyimpan pada masa yang sama.
Walaupun begitu, ini bukan alasan untuk tidak mempunyai simpanan kecemasan.
Paling merisaukan apabila keluarga muda sering terjerumus kepada permasalahan hutang akibat kelalaian mengurus kewangan sehingga ada yang sanggup berhutang dengan ceti haram atau ‘Ah Long’.
Mengikut kajian Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), terdapat peningkatan aduan kes ‘Ah Long’ sebanyak 40 peratus sejak November 2020 disebabkan kesan pandemik COVID-19.
Anda digalakkan mempunyai tabung kecemasan yang boleh menanggung perbelanjaan anda sekeluarga bagi sekurang-kurangnya enam bulan. 
Buat pengiraan awal mengikut corak dan kategori perbelanjaan kemudian tentukan sama ada perbelanjaan tersebut diperlukan:
• Perbelanjaan tetap: Ansuran rumah/kereta, sewa rumah dan premium insurans dan sebagainya.
• Perbelanjaan tidak tetap: Kos pengangkutan, barangan runcit, bil utiliti, barang keperluan anak-anak dan sebagainya.
• Perbelanjaan tambahan: Makan di luar, pakaian, langganan seperti Internet, Netflix, Spotify, barangan runcit bukan asas dan sebagainya.
Penting bagi pasangan muda yang baharu memulakan keluarga merancang dan menyediakan simpanan masa depan seawal mungkin. 
Biarpun anda menyimpan dalam jumlah yang kecil, yang penting anda kekal disiplin dan sentiasa konsisten dalam menyimpan dan mengawal perbelanjaan anda.

Artikel ini disumbangkan oleh Jabatan Korporat Komunikasi PIDM.

Advertisement