Anda di sini

Konsert Kerlipan Seni SIBUfm dedah bakat artis tempatan

Advertisement
Iskandar (duduk barisan kedua, tiga kanan) bersama para artis, kakitangan RTM Sibu serta tetamu jemputan merakam kenangan selepas berakhirnya Konsert Kerlipan Seni SIBUfm, semalam.
Iskandar (duduk barisan kedua, tiga kanan) bersama para artis, kakitangan RTM Sibu serta tetamu jemputan merakam kenangan selepas berakhirnya Konsert Kerlipan Seni SIBUfm, semalam.

SIBU: Sembilan artis tempatan hadir memeriahkan Konsert Kerlipan Seni SIBUfm 2022 di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sibu, malam tadi.

Artis berkenaan ialah band Chormatic Octave, The One Dance Studio, Alex Moh, Agnes, Dara Helena, Duna, Any Mdanis, Ikhwan dan Anthony Abong Sape.

Penerbit eksklusif programnya Iskandar Joni ketika ditemui berkata, program itu adalah tonggak untuk radio segmen perkhidmatan bahasa Melayu SIBUfm bagi mendedahkan bakat artis-artis tempatan.

"Ini konsert pertama untuk mengetengahkan artis-artis kepada pendengar khususnya di kawasan tengah ini.

"Kita menjemput artis berbilang agama dan bangsa untuk mengenali mereka," katanya.

Beliau berkata, dua tahun sudah tidak bersemuka susulan pandemik dan ini peluang yang sangat ditunggu-tunggu.

Justeru, beliau berharap program itu akan diletakkan dalam program tahunan dan akan diadakan setiap tahun.

"Dalam perancangan dan sudah semestinya yang akan diadakan lagi bagi mengetengahkan bakat-bakat seni di kawasan tengah ini," ujarnya.

Iskandar berkata, pada sebelah paginya agensi dan kelab kebudayaan menyertai pameran bagi mempamerkan perkhidmatan dan produk masing-masing.

Jelasnya, agensi yang terlibat adalah Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Pustaka Negeri Sarawak Sibu, Kelab Sape Dayak Sibu, Sibu D'Tari dan Persatuan Kebajikan Melanau Kampung Nangka.

Hadir sama pada konsert tersebut ialah Jurutera Penyiaran RTM Sibu Valentino Jefferson Munjan, Ketua Unit Rancangan merangkap Penyelarasan Konsert Kerlipan Seni SIBUfm Jenny Achan serta tetamu jemputan yang lain.

Advertisement