Anda di sini

Sesekali Plutophobia Mengetuk Pintu Bertalu-talu Seawal Dinihari

Advertisement
 


Oleh Frankie Latit

“Miskin itu
berwatak romantik selalu
di alam buku.”
-Sidney Sheldon.

 

“KETAKUTAN ini menjerut leherku perlahan sekali, dresar.”
     Saya ingatkan kes datang ke klinik kesihatan seawal dinihari bukan kes kecemasan. Kesnya sama seperti kes yang diterima dua jam lepas.
     “Lama-kelamaan dadaku terasa semakin ketat. Nafasku kian tersekat-sekat.” 
     Jangkaan saya ternyata melesit. Saya mendadak cemas. Sesak nafas memang memerlukan rawatan segera. Sakit dada pun sama.
     Saya masih terkesan dengan ketukan bertalu-talu terhadap pintu rumah dua jam sebelumnya. Seorang lelaki separuh baya mendakwa memerlukan rawatan segera. Sampai di klinik, baru dia mengaku mata sudah gatal sehari lepas. Mendadak saya tersenyum tawar. Kemudian, sekadar meneguk liur dan mengurut dada. Tanpa disangka-sangka, dia tiba-tiba bertindak menghentak-hentak meja. Hentakan terakhir terdengar keras sekali. 
     Sekeras nafas tercium bau minuman keras, saya berkeras menolak permintaannya. Permohonan mendapatkan sijil cuti sakit selama dua hari tidak dapat saya penuhi. Saya cuma berikan dia sebotol ubat untuk menitis mata. Juga sekeping tablet Paracetamol sebagai ubat tambahan.
     “Ketakutan penyakit gilakah, dresar?”
     Saya mendongak. Sesekali mengetuk lembut meja dengan hujung jari.
     Bacaan electrocardiogram (ECG), kadar oksigen dalam darah serta tekanan darah pesakit kali ini tidak menampakkan sebarang keabnormalan. Suhu badan pun normal. Kemasukan udara ke paru-paru juga seimbang di kedua-dua belah. 
     Dia sekejap berbaring di atas katil. Sekejap kembali duduk bersandar. Sesekali bertindak memeluk lutut. Tangannya yang berurat-urat kadang-kadang terlihat membetul-betulkan cadar dan selimut berwarna putih.
     Setiap kali saya menoleh, dia pasti mengangguk. Biarpun jauh, saya terkesan sekeliling matanya terlihat hitam. Bahagian muka lain tampak pucat.
     “Mungkinkah ketakutan ini akan membunuhku, dresar?” Nada suaranya terdengar bergetar.
     Saya bangkit daripada kerusi. Kemudian perlahan-lahan menapak ke arahnya. Sampai betul-betul di tepi katil, saya segera menggenggam erat tangannya. Dapat saya rasakan telapak tangannya sejuk. Juga sedikit lembap.
     “Setakat ini, dalam kisah penglipur lara pun,” saya jeda seketika sebelum menyambung, “tidak pernah diceritakan ketakutan pernah membunuh sesiapa.”
Saya tahu dia telah melalui pengalaman sukar beberapa bulan lepas. Saya bukan mengetahuinya melalui media sosial. Atau terbaca laporan di dada akhbar. Dia sendiri menceritakan pengalaman getir diacukan pistol tepat-tepat di kepala. Mendengar sahaja pun bulu roma saya meremang mendadak. Saya tidak boleh bayangkan kalau terjadi di depan mata. Tidak mustahil saya terkucil di seluar.
     “Boleh saya tahu apakah yang meresahkan Manang Umbo sebenarnya?” Saya berandaian tragedi malang tersebut masih menghantuinya. Tambahan, dia sedang dalam fasa rawatan pemulihan psikologi di klinik pakar.
     Dia diam. Alat tekanan darah di sebelah kiri katil ditatapnya berlama-lama. Saya perasan dahinya berkerut.
     “Aku bukan tegang.” Sempat dia menyapu peluh sejuk menitik di dahi sebelum menyambung, “atau risau.”
     ”Barangkali ini rasanya diserang ketakutan.” Sambungnya selang beberapa detik kemudian, “ketakutan teramat sangat.”
     “Kalau tidak keberatan.” Pujuk saya lagi, “Bolehkah manang menggambarkan ketakutan tersebut?”
     Dia senyap. Matanya melilau memandang sekeliling. Nafasnya mendadak cepat. Kadar nadinya terlihat mencanak pada paparan skrin alat pemantau nadi, tekanan darah dan oksigen dalam darah.
     “Manang usah terburu-buru.” Sambung saya kesal, “Manang boleh ceritakan jika sudah bersedia kemudian.”
     Pada masa sama, saya cuba menyakinkan dia agar mengawal kadar pernafasan. Jika dahulu, pesakit bernafas laju akan diminta bernafas dengan beg plastik menutup hidung dan mulut. Mutakhir ini, cara tersebut tidak disarankan sama sekali. Kini, perawat dikehendaki menenangkan pesakit sahaja.
     Buat sementara waktu, memadai saya mengajarnya menarik nafas dalam-dalam setiap hitungan lima saat. Kemudian saya arahkannya melepaskan secara perlahan-lahan ke udara.
     “Maafkan aku, dresar.” Dia jeda seketika. Setelah membetulkan posisi duduk, dia menyambung semula, “Aku tidak tahu bagaimana hendak memulakan ceritanya.”
     Saya memicit-micit bahunya.
     “Manang boleh saja ceritakan semua yang terbuku di hati kepada saya.” Tokok saya sedikit panjang lebar, “usah risau. Menjaga kerahsiaan pesakit ialah sebahagian tugas dan amanah saya.”
     Dia mengalihkan tempat duduk. Kemudian merenung saya seketika. Sebelum memerhati sekeliling. 
     Tidak banyak barang boleh ditatap di dalam bilik rawatan. Pengubahsuaiannya pun siap baru-baru ini sahaja. 
     Tapak asal bilik rawatan ini merupakan ruang kosong di bawah bangunan asal Klinik Kesihatan Beluru. Rata-rata bangunan klinik dibina daripada kayu. Setelah diluluskan peruntukan, baru ruang terbuka berkenaan ditutup dengan batu-bata. Maka terbentuklah sebuah bilik bersaiz sederhana luas dengan stor kecil di dalamnya. 
     Setelah diisi dengan dua buah katil, dua buah tong oksigen dan sebuah troli kecemasan barulah bilik ini dinamai bilik rawatan. Dindingnya sengaja dicat putih dan berlangsir biru muda. Akibatnya, bilik rawatan terlihat luas. Tambahan jika terkena simbahan cahaya lampu kalimantang yang terang-benderang.
     “Aku hanya boleh katakan.” Dia jeda seketikas sebelum menyambung semula, “ketakutan ini terasa aneh sekali.”
     “Maksud, manang?” Saya menatap wajahnya tepat-tepat.
     Dia cuba senyum. Hambar. Tawar.
     “Sepatutnya manang,” dia meneguk liur beberapa kali sebelum menyambung, “tidak mudah ditakut-takutkan oleh apa-apa. Atau oleh siapa-siapa.”
     “Terutama berkaitan semengat.” Sebelum sempat bertanya lanjut, dia sudah menambah, “Jika tidak, upacara menguatkan roh perlu diadakan segera.”
     “Seperti upacara yang manang adakan baru-baru ini?” teka saya. 
     Saya rasa bertuah apabila berkesempatan menghadiri upacara berkenaan. Upacara ini jarang sekali diadakan. Setelah berumur 38 tahun, baru saya dapat menyaksikannya betul-betul di depan mata.
     Dia mengangguk perlahan.
     Pada kesempatan tersebut, saya mengambil peluang bertanya pelbagai perkara berkenaan upacara bebangun manang. Tidak seorang pun manang yang turut serta terkecuali daripada diajukan soalan.
     Ketika itu tahulah saya, manang terdiri daripada tiga peringkat. Peringkat paling rendah ialah manang mata. Kemudian disusuli manang mansau. Peringkat tertinggi pasti manang bali. 
     Seperti dikisahkan manang turun-temurun, hingga ke hari ini pun belum ada manang mencapai pertingkat tertinggi selain daripada Raja Menjaya.
     Setelah menjalani upacara bebangun manang, Raja Menjaya diceritakan telah bertukar sepenuhnya daripada seorang lelaki kepada seorang wanita. Dia yang menjadi manang bali pertama lalu dikenali dengan nama Menjaya Manang Raja Betelaga Baruh Rekung, Manang Bali Menyadi Aki Lang Sengalang Burung.
     Malam itu pun baru saya tahu. Tidak semua orang boleh menjadi manang. Individu terpilih sahaja layak diangkat menjadi manang. Tidak memadai individu ini mengaku pernah mendapat mimpi atau diarahkan oleh roh-roh tertentu. Sebaliknya, wajib melalui proses tertentu terlebih dahulu. Proses ini antara lain mengkehendaki individu terbabit belajar cara belian serta leka pelian. Pada masa sama harus mendalami cara berubat dan cara menentukan penyakit daripada manang mansau. Setelah itu barulah upacara bebangun manang akan diadakan.
     Beberapa hari sebelum upacara diadakan, Manang Umbo telah menjalankan upacara mupu beras. Saya tahu sebab saya turut menghulurkan beras barang secupak. Bagi saya, tindakan tersebut tidak lebih sebagai tanggungjawab sosial berbanding tujuan asal. 
     Upacara meminta beras tidak lebih kepada simbolik. Selalunya, sekadar untuk mengingatkan penduduk setempat yang upacara bebangun manang akan diadakan di kejiranan mereka. Jika tidak ada aral melintang, seorang manang akan ditabalkan kemudian hari.
     Menjelang hari upacara, dekuh yang terdiri daripada tiga helai daun sirih, tiga biji buah pinang, tiga puntung rokok daun nipah diikat dengan benang merah, secubit tembakau, beberapa helai daun rangki dan sebiji loceng akan dikeluarkan ke ruai terlebih dahulu. 
     Setelah upacara miring diadakan, pagar api pun didirikan. Usai semua itu baru upacara bebangun dan nabuh mayang pun dijalankan.
     Paling menarik perhatian saya pada malam tersebut ialah ketika upacara kemuncak. Dimulakan dengan beberapa orang manang berkumpul ramai-ramai. Kemudian, bagaikan diserang histeria, masing-masing tiba-tiba bertindak memukul sesama sendiri dengan mayang pinang. Sebelum pengsan mendadak tanpa disangka-sangka.
     Seseorang layak digelar manang jika sewaktu tersedar kemudian, individu terbabit diberi petanda atau petunjuk daripada yang atau roh-roh tertentu. Petanda atau petunjuk ini didakwa akan bermunculan di dalam pasu kecil berisi beras. Dalam kata mudah, petanda atau petunjuk tersebut tidak ubah seperti patronus dalam novel Harry Potter. Jika sebaliknya, individu terbabit boleh mencuba lagi pada masa akan datang. Atau melupakan sahaja niat hendak menjadi manang.
     “Kalau kebiasaan, setelah mengadakan upacara bebangun, semengat manang akan kering semula.” Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembuskan perlahan-lahan ke udara, “sebaliknya, ketakukanku semakin menggila.”
     “Adakah ketakutan manang ini bermula setelah melalui hari sukar sewaktu di Myanmar tempoh hari?” Saya cuba memastikan dia memang terkesan dengan pengalaman pahit yang dilalui semasa berkerja di luar negara buat pertama kali.
     Dia menggeleng sebelum menafikan. Dia sekadar kecewa kerana telah ditipu dengan mudah. Tertipu dengan tawaran gaji berlipat ganda oleh sindiket pekerjaan. Hinggakan dia dijadikan buruh paksa dan diletakkan di bawah pengawasan rapi pihak tentera. Mujur pihak kedutaan negara berjaya menyelamatkannya. Jika tidak, tentu dia masih lagi menjadi buruh kasar di sana.
     Lebih merumitkan keadaan, sindiket tersebut didakwanya memang sengaja memilih Myanmar untuk menjalankan aktiviti pelacuran, pemerdagangan manusia dan organ. Negara ini antara lain sedang didukung pemerintahan tentera. Pemerintah sama yang berjaya menggulingkan pemimpin junta sebelumnya, Aung San Suu Kyi.
     “Jadi, boleh saya tahu bilakah ketakutan tersebut bermula sebetul-betulnya?” Saya menatap wajahnya.
     Terangnya panjang lebar. Semua itu diakui barangkali tercetus akibat daripada keinginan ayahnya untuk mengubah keadaan hidup keluarga yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Atau bermula daripada kepercayaan yang dipegang oleh ayahnya. 
     Dengan menjadikan dia sebagai manang bali, ayahnya yakin penyakit kemiskinan keluarga akan dapat dirawat segera.
     Kepercayaan ayah dia itu didakwa bukan sahaja mengkehendakinya menjadi seorang manang. Sebidang tanah yang menjadi nadi untuk menampung kehidupan harian keluarga pun telah tergadai. Semua ini terjadi demi menampung kos mengadakan upacara bebangun manang yang perlu diadakan banyak kali.
     “Maksudnya, inilah alasan mengapa manang nekad mencari rezeki di negara asing kemudian hari?” celah saya setelah sekian lama mendiamkan diri. 
     “Pada mula, aku menjangkakan nurbisa penyakit kemiskinan boleh didapatkan dengan segera di negara jiran.” Tokoknya setelah menyunyut nafas dan melepaskannya kemudian, “Sebaliknya kekayaan itu datang sendiri sebaik-baik saja aku berjaya menjejakkan kaki semula ke tanah air baru-baru ini.”
     Giliran saya pula menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya perlahan-lahan ke udara. Sepanjang berkhidmat hampir belasan tahun, baru kali ini saya menerima kes panggilan selepas waktu pejabat sedemikian rupa. 
     “Ingatkan setelah menebus tanah dan mengadakan upacara baru-baru ini dengan duit hasil derma pelbagai pihak yang melimpah-ruah,” terangnya lagi, “kegusaran ini lenyap serta-merta.”
     “Sebaliknya telah bertukar menjadi mimpi ngeri,” jelasnya lagi, “hingga aku sukar melelapkan bulu mata walau sesaat mutakhir ini.”
     “Sebab baki wang manang berbaki sedikit saja lagi?” teka saya.
     “Barangkali inilah masalahnya dengan orang terbiasa hidup sudah,” dia terhenti sejenak sebelum menyambung sedikit panjang lebar, “berterusan mendapat durian runtuh dengan tanpa bekerja rupa-rupanya mampu mengundang penyakit tak terduga.”
     Saya mengerutkan dahi. 
     Dari dahulu memang saya kerap terbaca di buku. Kekayaan atau kemiskinan bagi setiap individu dikatakan membawa keromantikan berbeza-beza. Semua ini diakui pakar bergantung kepada latar belakang individu. Juga sejauh mana individu itu berpuas hati dengan sesuatu miliknya. 
     Baru kali ini saya ketemu hal sebaliknya. Rupa-rupanya kekayaan dan kemiskinan boleh mencetuskan serangan fobia.
     “Sehingga ke upacara bebangun manang baru-baru ini,” tokoknya separa berbisik, ”belum ada juga yang manang yang mahu mendampingiku.”
     “Jadi, kalau mengikut pandangan dresar,” soalnya lagi dengan nada sedikit gementar, “apakah ada ubat moden untuk merawat ketakutanku yang terdengar agak pelik ini, dresar?”
     “Secara jujur, saya lebih suka dengan pendekatan Kementerian Kesihatan Malaysia,” seloroh saya lagi, “mencegah lebih baik daripada merawat.”
“Maksud, dresar?” Soalnya lagi, “ia terpakai untuk semua jenis penyakit?”
     Saya senyum lalu menyerahkan surat rujukan, “pagi kelak usah terlepas temu janji bertemu pakar psikiatri di Klinik Pakar Hospital Miri untuk rawatan serangan plutophobia ini.”
     Dia mengangkat bahu.
     “Untuk mengubat ketakutan encik berdepan kemewahan.” Seloroh saya lagi, “agar pintu rumah saya tidak lagi diketuk berkali-kali seawal dinihari.”
     Dia mendadak ketawa berdekah-dekah.

 
 
Advertisement