Anda di sini

Sibu dipilih tuan rumah PDC 2024

Advertisement
Abdul Karim menerima cenderamata daripada Khairuddin (kanan) selepas sidang media mengenai Participatory Design Conference 2024 di Kuching, hari ini. Turut kelihatan Ting (kiri) dan Hii (dua kiri). - Gambar Chimon Upon
Abdul Karim menerima cenderamata daripada Khairuddin (kanan) selepas sidang media mengenai Participatory Design Conference 2024 di Kuching, hari ini. Turut kelihatan Ting (kiri) dan Hii (dua kiri). - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sibu menjadi bandar pertama di Malaysia dan Asia dipilih sebagai tuan rumah Participatory Design Conference (PDC) 2024 yang akan dianjurkan oleh Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

PDC 2024 ialah persidangan antarabangsa terkemuka yang membincangkan penyelesaian bagi reka bentuk produk, perkhidmatan dan struktur sistem sosioteknikal, selain peranan dan hak dalam sistem yang melibatkan manusia dan teknologi berfungsi bersama.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, PDC 2024 adalah penting kepada Sarawak selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 untuk mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
  
"Persidangan ini adalah mengenai kaedah yang melibatkan pihak berkepentingan iaitu rakyat Sarawak ke dalam proses sesuatu reka bentuk. 

"Hasil kerjasama ini, keperluan rakyat akan dapat dipenuhi dan hasrat kerajaan ke arah destinasi yang makmur, mampan dan berpendapatan tinggi akan dapat dicapai," katanya pada sidang media mengenai PDC 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddun Ab Hamid dan Setiausaha Tetap kementerian Hii Chang Kee.

Tambah Abdul Karim, kerajaan negeri mengalu-alukan penganjuran acara sedemikian yang menarik ramai peserta dari luar negara sekali gus memperkasakan pelancongan.

"Ini akan meletakkan Sibu di peta dunia kerana ia akan disertai lebih daripada 50 negara. Dimaklumkan juga, biasanya persidangan ini hanya diadakan di negara Eropah dan tahun 2024 ia menyaksikan Sibu atau Sarawak sebagai tuan rumah.

"Ia bukan sahaja yang pertama untuk negeri atau Malaysia, bahkan Asia," katanya.

PDC 2024 bertemakan 'Reaching Out: Connecting Beyond Participation' dijangka dihadiri 500 perwakilan daripada 50 negara dan diadakan di Dewan UTS yang mampu menampung 3,500 hingga 4,000 orang.

Ia bertujuan untuk mengembangkan pakatan baharu dengan komuniti penyelidik, pihak berkepentingan dan pengamal berkaitan dalam rekaan di Malaysia dan luar negara.

Dalam usaha untuk membentuk semula penyertaan pada persidangan itu, model komunikasi dan pembentangan baharu akan diterokai untuk mewujudkan hubungan dengan komuniti akademik, aktivis, pengamal serta komuniti yang berminat.

Sementara itu, Ting pada sidang media itu berkata, selaku Pengerusi MPS, beliau amat mengalu-alukan penganjuran acara sedemikian khasnya yang menarik peserta dari luar.

Sehubungan itu katanya, Sibu perlu membuat persiapan sebaiknya dalam usaha menganjurkan PDC 2024 dengan jayanya.
 

  • oleh
  • Advertisement