Anda di sini

JFF 2022 kembali di Sarawak bermula 6 hingga 9 Okt di GSC CityOne Megamall, GSC The Spring

Advertisement
Abdul Karim (tiga kanan) bersama (dari kiri) Dzulfrizal, Johnny, Masashi Shiraishi, Seiya Shimada (dua kanan) dan Donald (kanan) merakamkan gambar kenangan selepas perasmian JFF 2022 pada malam Rabu. – gambar Chimon Upon
Abdul Karim (tiga kanan) bersama (dari kiri) Dzulfrizal, Johnny, Masashi Shiraishi, Seiya Shimada (dua kanan) dan Donald (kanan) merakamkan gambar kenangan selepas perasmian JFF 2022 pada malam Rabu. – Gambar Chimon Upon

KUCHING: Festival Filem Jepun (JFF) 2022 yang dinanti-nantikan kembali di Sarawak untuk kali kedua pada tahun ini dan diadakan dari 6 hingga 9 Oktober 2022 di GSC CityOne Megamall dan GSC The Spring di sini.

Ia menawarkan filem-filem Jepun baharu dan terkenal daripada pelbagai genre yang akan memuaskan keinginan sinematik dan juga mengalu-alukan pendatang baharu untuk merasai keindahan pawagam Jepun.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha The Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL) dan Mitsubishi Corporation yang membawa festival filem sebegini ke Sarawak diyakini akan mewujudkan pengikut atau penggemar filem Jepun dalam kalangan khalayak umum di sini.

Beliau juga berkata, terdapat banyak perkara yang boleh dipelajari daripada filem-filem Jepun.

Masashi Shiraishi menunjukkan yukata (pakaian tradisional Jepun) yang dipakainya pada malam tersebut. – gambar Chimon Upon
Masashi Shiraishi menunjukkan yukata (pakaian tradisional Jepun) yang dipakainya pada malam tersebut. – Gambar Chimon Upon

“Umum mengetahui bahawa orang-orang Jepun mempunyai cara hidup yang sangat berdisiplin dan sangat berjaya.

“Justeru, terdapat banyak perkara baik yang boleh kita pelajari daripada mereka melalui pelbagai cara, termasuklah melalui filem,” katanya ketika merasmikan JFF 2022 di GSC CityOne Megamall di sini, pada malam Rabu.

Hadir sama adalah orang kenamaan (VIP), penaja dan rakan kongsi iaitu Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Media Group Sdn Bhd Dzulfrizal Zulkapli, Pengurus Kawasan, Operasi Pawagam, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd Johnny Tseu Vui Hong, Pengarah JFKL Seiya Shimada dan Pengarah Festival What About Kuching Donald Tan.

Abdul Karim dalam pada itu juga mengucapkan tahniah kepada JFKL kerana berjaya menjayakan JFF 2022 walaupun berhadapan cabaran.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Mitsubishi Corporation atas sokongan berterusan terhadap Festival Filem Jepun yang membenarkan rakyat Sarawak dapat menikmati pawagam Jepun terbaik,” ujar beliau.

Pengurus Besar Cawangan Kuala Lumpur, Mitsubishi Corporation Masashi Shiraishi berkata, pihaknya berbesar hati untuk terus menaja acara ini sejak ia diadakan secara rasmi di Kuching pada 2012.

“Melalui acara ini, kami berharap dapat memupuk persefahaman yang lebih baik terhadap orang Jepun, masyarakat dan budaya serta memupuk hubungan lebih erat antara Malaysia dan Jepun,” ujarnya.

Menurut beliau, Mitsubishi Corporation mementingkan hubungan jangka panjang dengan Sarawak kerana ia membentuk intipati yang dianggap sebagai aset paling berharga bagi pihaknya.

Sarawak juga katanya, merupakan pusat tumpuan aktiviti bagi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mitsubishi Corporation.

Antara lainnya, pada tahun 2019, Mitsubishi Corporation melancarkan salah satu Microalgae Cultivation Facility luaran terbesar di rantau ini yang diharapkan akan menyumbang kepada pembangunan bio-industri di Sarawak.

“Dalam bidang pendidikan, kami menganugerahkan biasiswa kepada pelajar universiti Sarawak melalui UNIMAS dan UTS. Kami juga menyokong Kem Komunikasi Belia anjuran Kelab Toastmasters Kuching.

“Kami yakin bahawa pendidikan adalah salah satu jalan utama untuk mobiliti sosial.

“Objektif kami adalah untuk memupuk sumber manusia dalam kalangan rakyat Sarawak yang diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan Sarawak bahkan Malaysia dan masyarakat global pada masa hadapan,” katanya.

Tiket untuk JFF 2022 dijual pada harga mampu milik RM 9.50 (kecuali “Just Remembering”) melalui saluran GSC.

Semua filem yang dipaparkan adalah dalam bahasa Jepun dengan sarikata Inggeris.

Senarai lengkap sinopsis filem JFF, masa tayangan dan maklumat umum boleh didapati di jfkl.org.my/japanese-film-festival-2022/ dan gsc.com.my.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, JFF 2022 akan memasukkan GSC The Spring untuk jelajah Kuching di seluruh negara.
 

Advertisement