Anda di sini

Wanita dakwa kerugian RM12,550 tempah gelang emas dalam talian 

Advertisement
 

SIBU: Seorang penjawat awam wanita kerugian RM12,550 selepas gelang tangan emas yang ditempahnya melalui penjual dalam talian belum diterimanya sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa, 45, telah berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan membuat bayaran berjumlah RM12,550 secara ansuran sejak Januari hingga Mac lalu.

"Pihak kami daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial telah menerima satu laporan daripada pengadu pada 2 Oktober lalu menyatakan bahawa dia telah diperdaya untuk membeli seutas gelang tangan 'pulut dakap' di laman sosial Facebook," katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Katanya, mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat melalui perbankan Internet ke satu akaun dan dijanjikan barangan akan dipos ke alamatnya.

"Selepas pembayaran dibuat, mangsa telah menghubungi penjual yang memberikan pelbagai alasan dan sehingga kini barang kemas yang ditempah belum diterimanya," katanya.

Zuklipli berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penjualan barangan kemas secara dalam talian yang menawarkan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

"Jangan mudah percaya dengan penjual yang menawarkan harga murah dan menjanjikan penghantaran tepat pada masa dan pastikan platform yang digunakan dalam talian benar-benar wujud terlebih dahulu," tegasnya.

Sebagai pencegahan, katanya orang ramai juga diminta menghubungi CCID Scam Response Centre di talian di talian 03-26101559 dan 0326101599/ atau memuat naik aplikasi semak mule di http://semakmule.rmp.gov.my atau ikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP@JSJPDRM.

Advertisement