Anda di sini

Usaha tarik penyertaan rakyat dalam program pembangunan cabaran besar BDDA: Uggah 

Advertisement
Uggah bersama (dari kanan) Richard, Friday dan Mohd Chee serta Mohd Razi (kiri).
Uggah bersama (dari kanan) Richard, Friday dan Mohd Chee serta Mohd Razi (kiri).

KUCHING: Usaha menarik rakyat untuk mengambil bahagian dengan sepenuh hati dalam semua program pembangunan akan menjadi satu cabaran besar bagi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Pengerusi BDDA dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tanpa penyertaan rakyat, objektif pembangunan agensi tersebut akan menemui kegagalan.

Uggah menambah, BDDA bertujuan membawa pembangunan keseluruhan bahagian terutama dalam bidang ekonomi ke tahap yang optimum.

“Menjelang tahun 2030, kita mahu penduduk di sini mencapai status berpendapatan tinggi dan menikmati taraf hidup tinggi setanding dengan masyarakat maju lain.

"Ini boleh berlaku jika kita dapat menggunakan sepenuhnya tanah mereka, memanfaatkan kesediaan dan kesanggupan mereka untuk bekerja keras menuju kejayaan dan menerima dasar baharu dalam melakukan perkara yang akan berkisar kepada teknologi baharu.

“Tetapi, bak kata pepatah, kita hanya boleh menuntun seekor kuda ke air tetapi kita tidak boleh membuatnya meminum air itu," kata Uggah dalam ucapannya di makmal kedua bagi strategi pembangunan BDDA 2030 di sini semalam.

Uggah berkata bagi tujuan ini, semua pihak terutama pemimpin dan pegawai kerajaan daripada agensi pelaksana perlu melakukan yang terbaik untuk meyakinkan rakyat.

Jelas beliau, dalam tempoh 50 tahun sejak merdeka, kerajaan telah melakukan banyak usaha untuk membangunkan negeri ini dari segi semua infrastruktur penting, utiliti dan kemudahan bahkan dalam sektor ekonomi.

“Tetapi kemiskinan masih wujud di seluruh kawasan luar bandar dan melalui agensi pembangunan baharu inilah kerajaan berhasrat untuk membasminya,”ujar beliau.

Mengulas mengenai peruntukan RM1.5 bilion yang diberikan kepada BDDA, Uggah yang juga ADUN Bukit Saban berkata semua DUN akan mendapat RM200 juta setiap satu manakala Lingga pada mulanya mendapat RM30 juta.

Beliau berkata ini kerana hanya kira-kira 10 peratus daripada kawasan itu berada di bawah BDDA.

Sehubungan itu katanya, baki RM70 juta adalah untuk dana biasa.

Pusat pentadbiran BDDA juga ujarnya, akan berada di Betong.

Uggah menambah, Dato Gerald Rentap Jabu dan Mohd Razi Sitam masing-masing akan menjadi timbalan pengerusi manakala ADUN selebihnya dan Dayang Noorazah Awang Sohor akan menjadi ahli jawatankuasa.

Sementara itu, mengenai keperluan menambah baik sambungan Internet di bahagian Betong, Uggah berkata beliau telah meminta Premier Sarawak Datuk Patingg Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melanjutkan sistem yang digunakan di Spaoh untuk menaik tarafnya.

"Premier kita telah mengarahkan Sarawak Multimedia Authority untuk membuat kajian mengenai perkara itu kerana perhubungan yang dipertingkatkan akan memberi manfaat kepada kolej dan sekolah di sini,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Residen Betong Richard Michael Abunawas berkata makmal itu adalah untuk memperhalusi projek yang dicadangkan di makmal pertama.

Ia katanya, bagi mengelakkan sebarang pertindihan dengan projek yang diluluskan daripada bajet biasa kerajaan.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Layar Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti merangkap ADUN Saribas Mohammad Razi Sitam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik, ADUN Kabong Mohd Chee Kadir, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Kalaka Mohamad Duri dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.

Turut hadir ialah Penasihat Sains Kerajaan Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan Setiausaha Politik Premier Sarawak Dr Richard Rapu.

Advertisement