Anda di sini

Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 dijangka dibaca kali pertama hari ini

Advertisement
 


KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 bagi bacaan kali pertama dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang rasmi Parlimen, rang undang-undang itu akan dibentang oleh Menteri Kewangan dan bacaan kali kedua dijangka pada Jumaat ini. 

Persidangan hari ini juga akan diteruskan dengan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022.

Dewan Rakyat juga dijangka bakal tertumpu kepada pembentangan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022), Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022, Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan (2022) dan Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan 2021) untuk bacaan kali kedua.

Pada sesi jawab lisan pula, soalan berhubung usaha kerajaan dalam mengatasi isu eksploitasi seksual kanak-kanak di alam maya berpunca daripada pelbagai aplikasi tidak bermoral dalam talian diajukan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Turut tersenarai, soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) kepada Menteri Kewangan berkaitan pendekatan Kementerian Kewangan dalam memastikan model “Environmental, Social dan Governance” (ESG) diterapkan dalam meluluskan mana-mana kontrak kerajaan.

Selain itu, persoalan mengenai perkembangan fasiliti dan kemudahan e-Sukan yang telah dibangunkan kerajaan bagi memenuhi keperluan belia akan diajukan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) kepada  Menteri Belia dan Sukan.

Tengku Zulpuri Raja Puji (PH-Raub) pula meminta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan pelan dan tindakan perancangan awal kerajaan bagi menghadapi kemungkinan banjir besar berikutan fenomena La Nina, Monsun Timur Laut dan taburan hujan di luar jangkaan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadualkan berlangsung selama 32 hari bermula 3 Okt hingga 29 Nov. - BERNAMA 

Advertisement