Anda di sini

Prasarana asas di Kampung Bangkatan perlu ditingkatkan

Advertisement
Awang Tengah (enam kanan) Awangku Jinal (tiga kanan) dilihat memberi perhatian kepada potensi kawasan jeti Kampung Bangkatan untuk dijadikan kawasan rekreasi dan pelancongan.
Awang Tengah (enam kanan) Awangku Jinal (tiga kanan) dilihat memberi perhatian kepada potensi kawasan jeti Kampung Bangkatan untuk dijadikan kawasan rekreasi dan pelancongan.

LAWAS: Prasarana asas termasuk jeti, tandas awam dan kemudahan berkaitan perlu ditingkatkan di Kampung Bangkatan yang dahulu dikenali sebagai pusat perniagaan sistem barter antara masyarakan nelayan Kuala Lawas, dekat sini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu meningkatkan kemudahan di kawasan jeti, selain menyediakan kemudahan tandas awam serta kemudahan lain kepada pengunjung.

Kemudahan itu penting katanya, memandangkan Jeti Kampung Bangkatan dulu dikenali sebagai pusat perniagaan sistem barter antara masyarakat nelayan di Kuala Lawas dan masyarakat tani di Merapok, selain turut memiliki keindahan persekitaran yang sesuai dijadikan tempat riadah.

“Kawasan ini terletak di kawasan yang dahulunya dikenali sebagai paya besar dan pusat penanaman padi penduduk Kuala Lawas,” katanya pada lawatan kerja ke kawasan itu pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Safri dan ketua jabatan kerajaan yang lain.

ADUN Bukit Sari itu menjelaskan lagi, kawasan perkampungan Surabaya Lawas dekat sini turut mempunyai sejarah panjang dalam sektor pertanian akan terus diperkasa melalui kaedah moden selain Kampung Ladang Baru dan Kampung Seberang Lawas.

“Penduduk di Kampung Surabaya, Jalan Merapok, Lawas akan dibantu dalam membangunkan sektor pertanian di kawasan mereka,” jelasnya.

Pada lawatan itu Awang Tengah turut menghadiri sesi dialog dengan penduduk Kampung Ladang Baru berhubung masalah yang dihadapi rakyat khususnya berkaitan isu bekalan air bersih dan bekalan elektrik.

Advertisement