Anda di sini

Polis Kuching gempur judi dalam talian

Advertisement
Anggota operasi menyerbu salah satu premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian.
Anggota operasi menyerbu salah satu premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian.

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching melakukan sebanyak 86 serbuan ke atas premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian dalam talian sejak Jun hingga September tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata daripada serbuan tersebut, seramai 89 lelaki dan 12 wanita warga tempatan ditangkap.

Menurutnya, serbuan di bawah Operasi Khas Op Dadu tersebut turut membabitkan rampasan wang tunai sebanyak RM16,590.

"Sebanyak 86 kertas siasatan dibuka iaitu 74 di bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka  1953 iaitu perjudian dalam talian (online).

"Sembilan kertas siasatan lagi dibuka di bawah Seksyen 4A(a) akta yang sama iaitu menjalankan kegiatan perjudian loteri awam tanpa lesen dan tiga lagi kertas siasatan dibuka ke atas pusat operasi perjudian (calling centre)," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Tambahnya, 35 kertas siasatan untuk kes perjudian dalam talian telah dituduh di mahkamah dan pesalah juga dijatuhkan hukuman.

"Mereka dijatuhkan hukuman denda paling rendah RM10,000 dan paling tinggi RM40,000.

"Manakala terdapat 26 lagi kertas siasatan lain akan dituduh sebaik sahaja siasatan selesai," katanya.

Tegas Ahsmon, operasi khas tersebut akan diteruskan lagi dalam usaha untuk membanteras kegiatan perjudian di sekitar daerah Kuching.

"Justeru kita amat mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian di daerah Kuching," ujarnya.

Advertisement