Anda di sini

Penganjuran sambutan keagamaan di Sarawak sentiasa disokong

Advertisement

Sarawak sentiasa menekankan kepelbagaian budaya dan mempamerkan keunikan perpaduan kaum dengan pelbagai cara  

Penganut Hindu meraikan perayaan Navarathiri di Kuil Sri Kamini Durga Eswari Amman hari ini.
Penganut Hindu meraikan perayaan Navarathiri di Kuil Sri Kamini Durga Eswari Amman hari ini.

"Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa menyokong pelbagai sambutan dan aktiviti perayaan tanpa mengira kaum dan agama yang secara langsung dan tidak langsung akan menggalakkan perpaduan dan keharmonian di Sarawak."

Dato Sri Lee Kim Shin
Menteri Pengangkutan Sarawak 

Oleh Mohamad Norhadie Sahari

MIRI: Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan terhadap penganjuran sambutan atau aktiviti keagamaan yang boleh meningkatkan perpaduan kaum dalam kalangan etnik majoriti dan minoriti di negeri ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Sarawak sentiasa menekankan kepelbagaian budaya dan mempamerkan keunikan perpaduan kaum dengan pelbagai cara.  

"Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa menyokong pelbagai sambutan dan aktiviti perayaan tanpa mengira kaum dan agama yang secara langsung dan tidak langsung akan menggalakkan perpaduan dan keharmonian di Sarawak," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Jeffry Phang yang juga Setiausaha SUPP Senadin pada Majlis Sambutan Perayaan Navarathiri di Kuil Sri Kamini Durga Eswari Amman hari ini.

Menurutnya, adalah penting bagi rakyat Sarawak untuk terus berwaspada menjaga perpaduan dan keharmonian kaum.

"Kita tidak sepatutnya membenarkan ekstremis, sama ada kaum, agama, politik atau sosial untuk menggunakan pengaruh yang tidak wajar dan menjejaskan kestabilan, keamanan, perpaduan dan keharmonian di Sarawak," jelasnya.

Mengulas mengenai perayaan itu, ADUN Senadin itu memberitahu telah menghadiri perayaan itu hampir setiap tahun bagi memberi sokongan terhadap Persatuan Hindu Miri.

"Sambutan Navarathiri merupakan salah satu perayaan utama yang dianjurkan Persatuan Hindu Miri di Miri setiap tahun. 

"Saya telah difahamkan bahawa perayaan Navarathiri adalah salah satu acara kerohanian utama dalam kalendar Hindu dan hari ini adalah hari terakhir perayaan ini dan sememangnya merupakan penghormatan besar saya untuk mengambil bahagian dalam perayaan hari terakhir ini," jelasnya.

Tambah beliau, salah satu aspek yang paling menyeronokkan dan memenuhi peranannya sebagai menteri di Sarawak ialah berpeluang bertemu dan bercakap dengan orang awam dari latar belakang budaya yang berbeza.

"Ini jelas membolehkan saya memahami perayaan mereka dan belajar tentang adat dan tradisi mereka juga.

"Sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Navarathiri kepada semua rakan Hindu di Miri serta Sarawak," jelasnya.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Hindu Miri Murugayah Veloo.

Advertisement