Anda di sini

Pekeliling perolehan pastikan perolehan kerajaan dilaksanakan secara telus 

Advertisement
Mohd Shahar menjawab soalan pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar BERNAMA 
Mohd Shahar menjawab soalan pada sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar BERNAMA 

KUALA LUMPUR: Pekeliling perolehan merupakan model tadbir urus baik untuk diamalkan bagi memastikan perolehan kerajaan dilaksanakan berdasarkan prinsip akauntabiliti awam, telus, nilai faedah terbaik, saingan terbuka serta adil dan saksama.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pekeliling yang menjadi panduan kepada kementerian dan agensi itu telah sedia merangkumi elemen-elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta telah diterapkan dalam tatacara serta proses pemberian kontrak kerajaan.

“Bagi mengurus kelestarian alam sekitar dan sumber asli dengan cekap, beberapa penekanan kepada tatacara perolehan kerajaan telah diperkenalkan. Antaranya, pelaksanaan perolehan hijau kerajaan semasa membuat perolehan bekalan dan perkhidmatan serta penggunaan Sistem Binaan Berindustri," katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar) mengenai pendekatan Kementerian Kewangan dalam memastikan model ESG diterapkan dalam meluluskan mana-mana kontrak kerajaan.

Mohd Shahar seterusnya menjelaskan di bawah tanggungjawab sosial, tatacara perolehan atau pemberian kontrak kerajaan telah menekankan kepada pematuhan dasar-dasar kerajaan sedia ada, termasuk Dasar Penggunaan Bahan/Barangan Dan Perkhidmatan Tempatan dan Dasar Keutamaan kepada Syarikat Bumiputera.

Selain itu, katanya Program Penempatan Latihan Kerjaya Graduan Bersama Industri turut diperkenalkan bertujuan membantu graduan menganggur membangunkan keupayaan diri secara mempersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja.

“Usaha-usaha kerajaan ini secara tidak langsung dapat memberi galakan kepada syarikat-syarikat untuk menunaikan tanggungjawab korporat sosial mereka serta mencapai impak alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang mampan,” tambahnya. - BERNAMA 

Advertisement