Anda di sini

Jalan Lukut-Penyulau ditenggelami air, tak boleh dilalui kenderaan ringan

Advertisement
Seorang anggota Bomba Kanowit melakukan pemantauan di Jalan Lukut-Penyulau dekat sini.
Seorang anggota Bomba Kanowit melakukan pemantauan di Jalan Lukut-Penyulau dekat sini.

KANOWIT: Jalan Lukut-Penyulau dekat sini tidak dapat dilalui kenderaan ringan setakat ini kerana dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak petang Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit Arrahman Chik berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan pertembungan dengan air pasang sehingga menyebabkan paras air naik mendadak dan melimpah ke jalan berkenaan.

"Ketika pemantauan sekitar jam 6 pagi tadi, laluan terbabit sudah mulai digenangi air dan mula tidak dapat dilalui kenderaan ringan kira-kira jam 7 pagi.

"Cuaca hujan serta fenomena air pasang dijangka menyebabkan paras air banjir di jalan itu naik mendadak dan mampu menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan," katanya semasa dihubungi hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata tiada kejadian banjir berlaku di Kanowit setakat ini.

Namun demikian, pihaknya masih melakukan aktiviti pemantauan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

"Kami pada ketika ini dalam keadaan kesiap-siagaan yang tinggi dalam menghadapi banjir selain menghubungi pihak berkenaan berkenaan supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

"Dengan kerjasama ini lebih mudah untuk kita memindahkan penduduk jika ada keperluan yang mendesak," ujar beliau lagi.

Justeru, Arrahman menasihatkan orang ramai yang berada di lokasi sekitar agar terus berjaga-jaga sekiranya berlaku banjir di kawasan kediaman dan sentiasa peka dengan arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

  • oleh
  • Advertisement