Anda di sini

DTTAS dan DNC seru peruntukan lebih besar bagi Sabah, Sarawak 

Advertisement
Wellie (kiri) dan Paul
Wellie (kiri) dan Paul

MIRI: Menjelang tahun 2023, Sabah dan Sarawak memerlukan peruntukan yang lebih besar dalam bajet untuk tahun depan bagi membolehkan kedua-dua negeri itu mencapai keseimbangan pembangunan, terutama dari aspek infrastruktur. 

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam, Penasihat Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang dan Presiden Dayak National Congress (DNC) Paul Raja menekankan bahawa Sarawak sebagai negeri terbesar di Malaysia memerlukan perhatian lebih dan peruntukan khusus. 

"Sekarang sudah memasuki tahun 2022 dan bukan lagi 1957 atau 1963, dengan Sarawak negeri terbesar di Malaysia memerlukan perhatian dan peruntukan yang lebih khusus bagi memajukan negeri ini. 

"Justeru dalam Bajet 2023 kelak, Sarawak perlu diberi agihan lebih besar bagi membantu sasaran mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030," demikian menurut kenyataan tersebut.

Pada masa yang sama, Pemberian Khas Tahunan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan seharusnya menggunakan formula betul bagi mendapat jumlah yang wajar diagihkan kepada Sabah dan Sarawak.

Peruntukan sebanyak RM16 juta yang diperuntukan kepada Sarawak sebelum ini di bawah Perkara 112D ini jelas tidak mencerminkan keperluan Sarawak dengan mengambil kira keluasan geografi, tahap pembangunannya serta statusnya sebagai rakan kongsi pembentukan Malaysia.

"Perkara ini juga perlu diberi perhatian dan dikaji semula, dengan kerajaan persekutuan seharus melipatgandakan pemberian itu, seiring dengan tuntutan pembangunan semasa dan nilai mata wang berbanding pada awal pembentukan Malaysia (1963) dahulu," jelas mereka lagi. 

Dalam kenyataan itu juga DTTAS dan DNC berpendapat bahawa isu pembangunan Sabah dan Sarawak amat penting, maka kedua-dua wilayah itu telah menuntut supaya diberi peruntukan, selain daripada peruntukan biasa, penyelenggaraan jalan negeri, pemberian dana bagi maksud tertentu, pendahuluan bagi negeri dalam keadaan mendesak dan di luar jangkaan serta Kumpulan Wang Rizab Negeri. 

Kali terakhir semakan semula pemberian geran khas ini dibuat adalah pada 1969 meskipun termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan bahawa semakan perlu dibuat setiap lima tahun.

Buat kali pertama sejak 1969 bermula pada belanjawan tahun 2020, pemberian khas tahunan sebanyak RM16 juta untuk Sarawak seperti yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), belum pernah disemak semula kecuali di bawah Belanjawan 2020.

"Kerajaan terdahulu bercadang menggandakan kadar tersebut kepada RM32 juta untuk Sarawak, kerajaan terdahulu juga akan menggandakan lagi kadar pemberian khas sehingga RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun.

"Namun, pada Belanjawan 2021 Pemberian Khas tahunan di bawah Perkara 112D dikurangkan kembali kepada jumlah RM16 juta.

"Justeru, apakah formula bagi mendapatkan angka pemberian khas Perkara 112D di bawah Belanjawan 2023 yang dibahaskan pada sidang dewan kali ini?"

Menurut DTTAS dan DNC untuk menyemak semula Perkara 112D, perkara pertama yang harus diambil kira ialah peningkatan berskala geran tersebut mulai dari 1974, iaitu tahun di mana geran khas itu telah terhenti.  

Perkara kedua adalah tunggakan geran khas dari tahun 1974 hingga tahun 2019 dan seterusnya tahun 2022. 

"Tunggakan ini harus diambil kira, tidak dapat dinafikan bahawa sebab utama mengapa pembangunan di Sabah dan Sarawak jauh ketinggalan adalah kekurangan agihan dana peruntukan kepada kedua-dua wilayah tersebut. 

"Malah perlu melihat kerangka keperluan negeri kerana Sarawak merupakan negeri yang luas dan mempunyai penduduk yang agak besar jumlahnya," kata kenyataan bersama itu lagi. 

Sebagai rakan seangkatan dalam pembentukan Malaysia, semua perkongsian iaitu hasil yang harus dibahagi berdasarkan kepada beberapa faktor merangkumi sumbangan Sarawak kepada kewangan negara termasuk pendapatan yang diterima kerajaan persekutuan melalui eksploitasi sumber semula jadi negeri dan hasil yang diterima daripada cukai di Sarawak.

Dalam kenyataan itu juga, DTTAS dan DNC turut memberi ingatan bahawa jika kerajaan pusat gagal menunaikan tuntutan rakyat negeri ini dalam meningkatkan Bajet 2023, ia mungkin memberi impak pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan pihak-pihak lawan pastinya akan mengambil kesempatan ke atas isu tersebut. 

Advertisement