Anda di sini

Tanaman alternatif mampu jamin sekuriti makanan negara

Advertisement
Haslina (kanan) melawat ruang agensi di bawah kementerian pada Perasmian Simposium Agrobiodiversiti dan Persekitaran di sebuah hotel hari ini. - Gambar BERNAMA 
Haslina (kanan) melawat ruang agensi di bawah kementerian pada Perasmian Simposium Agrobiodiversiti dan Persekitaran di sebuah hotel hari ini. - Gambar BERNAMA 

KUALA TERENGGANU: Pengenalan sumber tanaman alternatif baharu seperti ubian yang tinggi nutrisi, merupakan salah satu inisiatif yang mampu memastikan sekuriti makanan negara terjamin.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Haslina Abdul Hamid berkata pengenalan beberapa varieti ubian baharu dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada satu sumber tanaman makanan sahaja.

Katanya pemindahan kepakaran tanaman ubian kepada golongan sasar khususnya petani juga dapat membantu menjana ekonomi golongan itu.

Dalam pada itu katanya cabaran pengukuhan sekuriti makanan dalam mendepani isu perubahan iklim menjadi teras dalam penyelidikan pertanian pintar iklim yang diterajui oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Sekuriti makanan adalah antara elemen utama digalas oleh MAFI dan dalam aspek penyelidikan, MARDI membantu kementerian secara berterusan bagi memastikan Tahap Sara Hidup (SSL) bagi makanan negara sentiasa berada pada tahap optimum,” katanya.

Haslina berkata demikian ketika berucap pada Simposium Agrobiodiversiti dan Agropersekitaran (A-BES) 2022 di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Menurutnya selain giat menjalankan pembangunan varieti padi, MARDI juga menjalankan kajian penilaian kesan-kesan perubahan iklim seperti suhu tinggi dan jerebu terhadap tanaman seperti jagung bijian, nanas dan betik serta penilaian terhadap serangga di tanah tinggi.

“Penyelidikan dan inovasi teknologi yang dirancang dan dijalankan di MARDI adalah untuk menyokong MAFI dan agensi berkaitan seperti Kementerian Alam Sekitar dan Air dan lain-lain agensi dalam menyusun strategi adaptasi dan mitigasi sektor pertanian terhadap perubahan iklim,” katanya.

Sementara itu Mohamad Zabawi berkata A-BES 2022 bertemakan “Agrobiodiversiti Pemacu Sekuriti Makanan” merupakan anjuran bersama MARDI, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Menurutnya simposium itu memfokuskan kepada sekuriti makanan dalam mendepani cabaran global, pengurusan agropersekitaran dalam mendepani cabaran perubahan iklim, kelestarian tanaman ubian untuk sekuriti makanan dan pengurusan ekosistem serta kawalan biologi untuk pertanian lestari.

Dr Mohamad Zabawi berkata ia bertepatan dengan keperluan semasa dan hala tuju negara untuk kluster agrobiodiversiti dan agropersekitaran.

“Diharap simposium ini dapat memberi peluang kepada cendiakawan di negara ini untuk mengutarakan pendapat dan menilai kepentingan agrobiodiversiti dan agropersekitaran di pentas ilmiah sekali gus membincangkan jalan mendepani cabaran tersebut,” katanya.

Pada majlis itu MARDI turut melancarkan buku “The Hidden Treasure - Crop Wild Relative” yang memaparkan 25 spesies kerabat liar tanaman yang ditemukan di negara ini dan dikategorikan sebagai spesies yang kurang dikenali serta bermandiri di habitatnya yang tersendiri.

Tujuan penghasilan buku itu adalah untuk merekodkan butiran semua spesies kerabat liar tanaman yang telah dikumpulkan dan dipulihara oleh MARDI. - BERNAMA 

Advertisement