Anda di sini

SHEDA jadi tuan rumah bagi acara ‘Gobald Satellite Shave’

Advertisement
 Antara mereka yang turut membotakkan kepala pada acara ‘Gobald Satellite Shave’ dalam Ekspo Hartanah SHEDA di BCCK Sabtu lalu.
Antara mereka yang turut membotakkan kepala pada acara ‘Gobald Satellite Shave’ dalam Ekspo Hartanah SHEDA di BCCK Sabtu lalu.

KUCHING: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) menjadi tuan rumah bagi acara ‘Gobald Satellite Shave’ pada Ekspo Hartanah SHEDA di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada petang Sabtu.  

GoBald ialah acara pengumpulan dana untuk Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS).

Antara mereka yang menawarkan diri untuk menjadi botak ialah Penolong Setiausaha Agung SHEDA Kaunselor Iskandar Sharkawi, Penasihat SHEDA Clarence Chieng dan Bendahari SHEDA Cawangan Bintulu George Liang.

Berucap pada majlis tersebut, pengerusi penganjur Ekspo Hartanah SHEDA 2022 John Yong Lock Ping berkata, adalah menjadi satu keistimewaan bagi SHEDA kerana dapat menyediakan platform kepada masyarakat berbuat amal melalui acara ini.

“Melalui program GoBald ini, kira-kira RM80,000 berjaya dikumpulkan untuk SCCS daripada lebih 150 penyokong,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada pemaju hartanah SHEDA, syarikat ejen hartanah termasuk Kozin Real Estate, Afluence Properties, Asian Land dan Double Realtor serta rakan-rakan dan komuniti lain atas sumbangan dan sokongan moral mereka.  

Dalam pada itu, Yong memberitahu jumlah pelawat, pertanyaan dan tempahan yang dibuat semasa ekspo ini menunjukkan rakyat Sarawak mahu membeli hartanah sekarang.  

Justeru katanya, pembeli berpotensi yang belum membuat pilihan untuk membeli hartanah digesa bertindak segera sebelum harga meningkat.  

“SHEDA menaruh keyakinan kepada Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan langkah-langkah yang akan membolehkan pemaju swasta menyediakan lebih banyak bekalan rumah mampu milik bagi memenuhi permintaan pasaran,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pempamer, ahli SHEDA dan syarikat lain yang mengambil bahagian dalam menjayakan eskpo itu.  

“Terima kasih kepada penaja utama kami iaiti Naim Land Sdn Bhd, Lee Onn Development Sdn Bhd, Chen Ling Development Sdn Bhd dan CMS Berhad melalui anak syarikatnya Cahya Mata Sarawak Property Development Sdn Bhd,”katanya.

Acara itu telah disokong oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).

Turut hadir pada acara ‘Gobald Satellite Shave’ yang diadakan semasa Ekspo Hartanah SHEDA ialah Ahli Jawatankuasa SCCS Marylene Placid.

Advertisement