Anda di sini

Sarawak perlu miliki dasar ekonomi sendiri untuk capai status maju

Advertisement
Abang Johari disambut sebaik tiba di Majlis Makan Malam Sempena Pelantikan AJK Persekutuan Persatuan Cina Sarawak bagi tahun 2022-2025.- Gambar Pejabat Premier Sarawak
Abang Johari disambut sebaik tiba di Majlis Makan Malam Sempena Pelantikan AJK Persekutuan Persatuan Cina Sarawak bagi tahun 2022-2025.- Gambar Pejabat Premier Sarawak

KUCHING: Sarawak harus mempunyai dasar ekonomi sendiri bagi merancakkan pembangunan di negeri ini dengan memberi nilai tambah kepada kekayaan sumber yang ada.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak kini di landasan yang betul untuk muncul negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030.

Menurutnya sebarang hasil diperoleh kerajaan negeri menerusi sumber-sumber yang ada akan diberikan semula kepada rakyat.

"Sarawak harus mempunyai dasar ekonominya sendiri, untuk menggerakkannya menjadi negeri maju. Memandangkan kita memiliki sumber-sumber, kita merasakan kita ada kekuatan sendiri.

"Sudah tentu, kita memerlukan pengetahuan atau dengan kata lain pendidikan, tidak kira pendidikan Cina atau aliran nasional untuk memberi nilai tambah kepada sumber-sumber ini," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Pelantikan Ahli Jawatankuasa FCAS) bagi tahun 2022 hingga 2025 di sini, malam Isnin.

Abang Johari berkata hakikatnya pendidikan Cina tidak hanya mendidik kaum itu tetapi kaum lain seperti Melayu dan Dayak.

Menyedari hakikat itu kerajaan negeri katanya meneruskan usaha memberi dana RM10 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah Cina di Sarawak.

"Saya mahu meningkatkan lagi pendapatan kita (Sarawak) supaya kita dapat menyumbang semula kepada rakyat.

"Apabila saya melihat bagaimana kita dapat melakukannya menerusi MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan apa hak-hak kita, saya berjuang untuk itu termasuk berdepan dengan Petronas dan mengenakan cukai jualan ke atas minyak dan gas," ujarnya.

Sementara itu Abang Johari berkata kerajaan negeri bersetuju menyediakan geran padanan berdasarkan nisbah satu kepada satu (1:1) bagi jumlah yang berjaya dikumpul Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (FCAS) bagi membina bangunan milik FCAS.

"Misalnya, jika Persekutuan boleh mengumpul RM7 juta, kerajaan negeri akan memberi geran RM7 juta juga.

"Geran tambahan RM200,000 juga akan diperuntukan kepada sayap Belia dan Wanita Persekutuan ini bagi menganjur aktiviti-aktiviti tahunan," katanya.

Abang Johari berkata komuniti Cina di negeri ini khasnya sentiasa memainkan peranan penting ekonomi dan politik menerusi visi dan ketekunan mereka, meletakkan komuniti itu di barisan hadapan dalam perniagaan, perdagangan juga industri di Sarawak.

Menurutnya komuniti Cina sentiasa membantu kerajaan negeri maka mereka perlu dibantu jika berdepan masalah begitu juga dengan kaum lain di Sarawak.

"Kita mesti membantu antara satu sama lain jika ada berdepan masalah. Tidak ada cara lain untuk melangkah maju ke hadapan melainkan bekerjasama.

"Oleh sebab itulah, agenda pembangunan Sarawak merangkumi semua (kaum)," ujarnya.

Terdahulu, Presiden FCAS Datuk Richard Wee dalam ucapan aluannya berterima kasih kepada Abang Johari kerana memperuntukan sebidang tanah terletak di Jalan Simpang Tiga sebagai tapak membina bangunan milik sendiri Persekutuan itu.

Menurutnya penyerahan tapak kepada FCSA kini di peringkat akhir bersama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) negeri.

"Kos awal bagi membina bangunan ini dianggarkan antara RM10 juta hingga RM15 juta.

"Persekutuan akan memulakan usaha mengumpul dana (bagi membina bangunan ini) sebaik mendapat surat hak milik tanah daripada kerajaan negeri," katanya.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian. 

Advertisement