Anda di sini

Pergerakan Pengakap perkasakan pelajar melalui latihan amali

Advertisement
Para peserta perkhemahan merakam kenangan bersama Zasran, Patrick, Edwin, Nazari, penolong pesuruhjaya pengakap dan pemimpin.
Para peserta perkhemahan merakam kenangan bersama Zasran, Patrick, Edwin, Nazari, penolong pesuruhjaya pengakap dan pemimpin.

SERIAN: Penyertaan dalam pergerakan Pengakap dapat memperkasakan pelajar melalui latihan secara amali yang direka khas sebagai pelengkap kepada pembelajaran formal di bilik darjah.

Setiausaha Eksekutif Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak Zasran Abdullah berkata Pengakap mempersiap pelajar melalui skim latihan yang menyeluruh supaya ahli Pengakap dapat berhadapan dengan realiti hidup dengan penuh keyakinan.

"Latihan secara amali yang dilalui oleh peserta Perkhemahan Kemajuan Keris Gangsa di padang Sekolah Kebangsaan Tebakang dapat mempersiap pelajar untuk menangani bermacam- macam cabaran dalam hidup ini," katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Perkhemahan Lencana Kemajuan Peringkat Daerah Serian baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemimpin melipat ganda usaha pemerkasaan pelajar yang menyertai Pengakap.

Dalam pada itu, beliau merayu agar Pengakap ditubuhkan di semua 108 sekolah di daerah Serian.

"Jutaan terima kasih kepada pengetua dan guru besar sekolah yang telah menubuhkan unit-unit Pengakap di sekolah mereka agar pelajar berpeluang  menyertai pergerakan Pengakap ketika mereka berada di bangku sekolah.

"Saya juga bersyukur kerana kerana pihak pimpinan pendidikan di Serian sudah menunjukkan kemajuan dari segi penambahan keahlian," katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Serian Edwin Talep berkata perkhemahan tiga hari itu bertujuan mendedahkan ahli-ahli Pengakap kepada aspek perkhemahan dan Latihan amali dalam bidang-bidang yang khusus.

Menurut beliau perkhemahan itu dihadiri 180 peserta yang terdiri daripada Pengakap Kanak-Kanak dan Pengakap Muda serta Pengakap Remaja. 

Perkhemahan itu merangkumi latihan kemahiran mendirikan khemah, memasak ala rimba, membina tripod daripada buluh, persembahan kebudayaan, melakukan ikatan tali selain rutin wajib perkhemahan, tambahnya.

Turut hadir pada majlis penangguhan perkhemahan itu Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Serian selaku Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Serian Patrick Mandon dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tebakang Nazari Mohamed.

Advertisement