Anda di sini

NMSC mahu menjadi hospital bertaraf dunia

Advertisement

Mulakan latihan akreditasi untuk berkembang jadi hospital dengan tahap, kualiti hospital dunia pertama

Dr Au Yong ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Makmal Kardiovaskular Baharu (Cathlab), MSCT dan MRI di NMSC semalam. - Gambar Roystein Emmor
Dr Au Yong ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Makmal Kardiovaskular Baharu (Cathlab), MSCT dan MRI di NMSC semalam. - Gambar Roystein Emmor

“NMSC mempunyai pelan strategik berhubung perkhidmatan yang disediakan pada masa depan.  Proses ini termasuk analisis aktiviti hospital, kapasiti, kemudahan dan pertumbuhan penduduk.” 

Dato Dr Au Yong Kien Hoe
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif NMSC 

Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Pusat Perubatan Pakar Normah (NMSC) telah memulakan latihan akreditasi untuk berkembang menjadi hospital dengan tahap dan kualiti hospital dunia pertama.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif NMSC Dato Dr Au Yong Kien Hoe berkata, visi NSMC adalah untuk mewujudkan sebuah hospital berteknologi terkini dengan kepentingan dan hak pesakit menjadi tonggak teras amalan hospital.

“NMSC mempunyai pelan strategik berhubung perkhidmatan yang disediakan pada masa depan.  Proses ini termasuk analisis aktiviti hospital, kapasiti, kemudahan dan pertumbuhan penduduk.

"Pelan itu akan memberi tumpuan strategik dan kepercayaan untuk hala tuju masa depan hospital yang akan berpusatkan pesakit dengan lebih holistik serta mewujudkan pengalaman rawatan yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Makmal Kardiovaskular Baharu (Cathlab), Multislice Computerized Tomography (MSCT) dan Magnetic Resonance Imaging (MRI) di NMSC di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dr Au Yong berkata, NMSC telah melangkah jauh daripada menjadi pusat pembedahan tidak berkeuntungan yang mempunyai 130 katil perubatan kepada penyedia penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

Ia katanya, setelah mendapat banyak anugerah termasuk Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) dengan pensijilan penuh sejak 2005.

“NMSC juga secara rasmi diberikan akreditasi Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) yang berprestij dan sebagai penanda aras industri untuk mengukur penyampaian penjagaan kesihatan yang berkualiti.

“NMSC adalah satu-satunya hospital swasta di Borneo ketika ini yang dianugerahkan akreditasi JCI untuk empat penggal berturut-turut iaitu 2011 hingga 2013, 2014 hingga 2017, 2017 hingga 2020 dan 2021 hingga 2023,” katanya.

Menurutnya, perbezaan ini bukan sahaja mengesahkan NMSC kepada kualiti dan pematuhan dengan standard tertinggi penjagaan perubatan kepada pesakit.

Tetapi juga katanya, menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha menjadi pilihan mendapatkan rawatan di rantau ini.

Dr Au Yong juga berkata, sebagai hospital bertauliah, NMSC sentiasa menekankan keutamaan penambahbaikan strategiknya untuk kecemerlangan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

“Melalui penggunaan Matlamat Keselamatan Pesakit Antarabangsa, pelaksanaan amalan terbaik dan garis panduan untuk menambah baik dan menyeragamkan penjagaan klinikal, pengurusan risiko, kos dan kecekapan dalam penggunaan dan pengurusan sumber serta kepuasan pelanggan.

“Ketika kita membangunkan NMSC menjadi sebuah institusi perubatan, kita juga mengekalkan kerjasama erat dengan pelbagai universiti tempatan seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk penyelidikan klinikal dan pembangunan kod kecemerlangan yang berbeza.

"Projek kerjasama antara hospital dan akademia boleh digunakan untuk membangunkan kos efektif, amalan berasaskan bukti untuk meningkatkan hasil penjagaan kesihatan," katanya.

Beliau berkata pada Mac tahun ini, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara UNIMAS  dan Sarawak Medical Centre Sdn Bhd untuk menyediakan penyelidikan dan kerjasama perubatan universiti itu bagi mengukuhkan kepakaran perubatan dan perkhidmatan pendidikan selain meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Advertisement