Anda di sini

Mesyuarat penyelarasan memudahkan pengaturan kerja bagi Miss Tourism International World Final 

Advertisement
 Esther (dua kanan) menyerahkan cenderamata kepada Abdul Karim. Turut kelihatan Hii (kiri), Junaidi (tiga kiri), Harry, Ting (dua kanan) dan Gustian (kanan).
PENGHARGAAN: Esther (dua kanan) menyerahkan cenderamata kepada Abdul Karim. Turut kelihatan Hii (kiri), Junaidi (tiga kiri), Harry, Ting (dua kanan) dan Gustian (kanan).

KUCHING: Satu mesyuarat penyelarasan dianjurkan untuk memudahkan pengaturan kerja antara agensi kerajaan dan sektor swasta bagi acara Miss Tourism International World Final Ke-25 2022/2023 yang bakal diadakan pada 25 November depan. 

Mesyuarat yang diadakan di Hotel dan Pusat Konvensyen Raia di sini, semalam dihadiri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting serta Pengasas dan Pengerusi Kumpulan YAST merangkap pengerusi jawatankuasa penganjur program tersebut Esther Law Lee Poh.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan II Datuk Henry Harry Jinep, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datu Junaidi Reduan, Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani dan pihak-pihak terlibat.

Selesai mesyuarat, Abdul Karim turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Kumpulan YAST dan DBKU, penaja, rakan kongsi dan media untuk Miss Tourism International World Final Ke-25 2022/2023.

Acara kemuncak Miss Tourism International World Final Ke-25 2022/2023 yang dinanti-nantikan itu akan diadakan di Raia Hotel and Convention Centre Kuching jam 7 malam 25 November depan.

Para peserta ratu cantik yang mengambil bahagian dari pelbagai negara bakal tiba di Kuching pada atau sebelum 11 November. 

Mereka (para peserta) akan mengambil bahagian dalam beberapa siri aktiviti promosi yang telah dirancang oleh pihak penganjur.

Acara ini bakal menjadi tumpuan seluruh dunia kerana ia merupakan salah satu acara ratu cantik terbesar di Sarawak, Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.

Esther Law dalam ucapannya selepas mesyuarat tersebut berkata, pihak penganjur merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak atas sokongan kepada pihaknya dalam penganjuran acara antarabangsa ini. 

Menurut beliau sejak sidang akhbar rasmi pada bulan Februari sehingga sekarang, satu siri aktiviti bulanan telah dijalankan, hingga ke projek koheren 18 hari yang akan datang.

Tambah Esther, acara itu bakal menjadi acara antarabangsa terpanjang di Malaysia sekali gus akan membuka usaha perintis model Kerjasama Awam-Swasta.

Pertandingan ratu cantik akan menyaksikan para peserta melawat pelbagai bahagian bandar antara lainnya Muzium Budaya Borneo, Kampung Budaya Sarawak, Pantai Damai, Lundu, Bau, Semenggoh Wildlife Rehabilitation dan makan malam atas Sarawak River Cruise.

Advertisement