Anda di sini

Jalan dilencong, tutup jalan bagi kelancaran sambutan hari lahir TYT, Maulidur Rasul

Advertisement
Alexson (kiri) dan Makkaranu menunjukkan lakaran peta grafik jalan-jalan yang ditutup dan dilencongkan bermula 8 hingga 10 Oktober ini.
Alexson (kiri) dan Makkaranu menunjukkan lakaran peta grafik jalan-jalan yang ditutup dan dilencongkan bermula 8 hingga 10 Oktober ini.

MIRI: Beberapa jalan di sekitar bandar raya Miri akan ditutup dan dilencongkan untuk memastikan sambutan hari lahir Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua acara sambutan itu akan berlangsung di Stadium Terbuka Miri masing-masing pada 8 dan 10 Oktober ini.

"Kedua-dua acara ini dijangka dihadiri wakil-wakil dari semua bahagian di negeri ini dan masyarakat setempat.    

"Justeru untuk memastikan kelancaran acara ini, penutupan dan lencongan jalan akan dilakukan di beberapa batang jalan di sekitar bandar raya Miri, " katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Alexson, sempena Istiadat Perbarisan Rapat Raksasa yang akan diadakan pada 8 Oktober ini, tiga batang jalan akan ditutup bermula dari jam 5 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan Jalan Bintang yang akan dijadikan jalan sehala (laluan masuk dari Jalan Sukan ke Jalan Bintang ditutup); Jalan Merdu dijadikan jalan sehala (jalan masuk dari Jalan Sylvia ditutup) dan Jalan Kampung Sukan dijadikan laluan sehala (laluan masuk dari Jalan Sehati ditutup).

Manakala untuk sambutan Maulidur Rasul pada 10 Oktober nanti, Jalan Bintang akan dijadikan jalan sehala bermula jam 6 pagi.

Beberapa jalan lain yang terlibat seperti Jalan Bintang akan dilencong masuk ke Jalan Bintang Jaya 2, Jalan Bintang (simpang Jalan Merdu hingga Bulatan Kipas) ditutup bermula jam 5 pagi pada 8 Oktober hingga jam 2 petang 10 Oktober, lampu isyarat Jalan Sylvia (Pusat Kraftangan Miri) akan dibuat pusingan U dan Jalan Setia Raja/Jalan Brooke ditutup.

Sementara lampu isyarat Jalan Brooke akan dibuat pusingan U; Jalan Nakhoda Gampar dilencong ke Jalan Duranta (pasar raya Sin Liang); lampu isyarat Jalan Merbau (Hotel Mega) akan dibuat pusingan U; simpang masuk Jalan Permaisuri menuju Bulatan Kipas ditutup dan lampu isyarat Jalan Sehati/Jalan Sukan ditutup.

Sehubungan itu, Alexson menasihati orang awam yang ingin menghadiri kedua-dua acara ini supaya meletakkan kenderaan mereka di dua lokasi yang telah ditetapkan iaitu tempat letak kereta berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Bintang dan Stadium Tertutup Miri.

"Orang awam khususnya warga Miri dinasihati  supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sepanjang penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak agar mematuhi arahan petugas lalu lintas untuk memastikan program ini berjalan lancar," katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Miri melalui tallian 085-433587.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ketua BSPTD Miri ASP Makkaranu Beddu.

Advertisement