Anda di sini

IBEC UNIMAS kaji hidupan liar di Bako dan Pulau Lakei

Advertisement
Kadim (kanan) diberi taklimat oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II SFC Abang Arabi Abang Aiman (tengah) yang memegang anak buaya katak berusia dua bulan sambil diperhatikan Azlan (kiri) pada pameran sempena Hari Haiwan Sedunia IBEC 2022 hari ini.
Kadim (kanan) diberi taklimat oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II SFC Abang Arabi Abang Aiman (tengah) yang memegang anak buaya katak berusia dua bulan sambil diperhatikan Azlan (kiri) pada pameran sempena Hari Haiwan Sedunia IBEC 2022 hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Institut Biodversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk menjalankan penyelidikan hidupan liar di Bako dan Pulau Lakei.

Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata beliau dan Pengarah IBEC Profesor Madya Dr Mohd Azlan Jayasilan Abdul Gulam Azad telah menyertai lawatan ke dua tempat berkenaan bersama Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk meneroka kerjasama tersebut.

“Kerjasama dengan agensi kerajaan negeri ini sentiasa dalam perbincangan dan pelaksanaan di semua peringkat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Terbuka IBEC dan Hari Haiwan Sedunia yang disambut pada setiap 4 Oktober setiap tahun di Fakulti Sains dan Teknologi Sumber UNIMAS hari ini.

Menurutnya, IBEC merupakan salah satu institut perintis yang ditubuhkan di UNIMAS, sejak kewujudan UNIMAS 30 tahun lalu.

"IBEC yang diketuai Dr Azlan telah bekerjasama dengan banyak agensi termasuk industri, komuniti dan rakan strategik dalam dan luar negara.

"Kami juga menerima lawatan daripada penyelidik antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang bekerjasama dengan IBEC untuk meneroka perkara berkaitan biodiversiti di Sarawak," tambahnya.

Sementara itu, Azlan berkata banyak penyelidikan yang dilakukan oleh IBEC telah diterbitkan dan diguna pakai oleh kerajaan dalam perancangan dan pelaksanaan dasarnya.

"Kebolehpasaran penyelidikan kami lebih kepada pelaksanaan di lapangan serta bagaimana untuk memelihara biodiversiti, penubuhan taman negara dan dasar undang-undang mengenai hidupan liar termasuk kajian penemuan spesies baharu," katanya.

Azlan juga berkata IBEC bekerjasama dengan universiti luar negara seperti Oxford University dan Univerity of Montana untuk melakukan penyelidikan bersama.

"Pelajar dari Perancis dan Amerika Syarikat datang untuk melihat bagaimana kami melakukan penyelidikan di sini, sebahagian daripada mereka mendapat biasiswa dan menjalani latihan penyelidikan bersama kami.

"Mereka berminat untuk mempelajari teknik kami dalam membuat penyelidikan di hutan hujan tropikal di sini yang agak berbeza daripada apa yang mereka pernah lihat sebelum ini," katanya.

Terdahulu ketika berucap pada pelancaran acara itu, Kadim berkata IBEC menjalankan penyelidikan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi di Borneo bagi tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

“Sejak 2017, IBEC telah menganjurkan dua edisi Hari Haiwan Sedunia dengan menjemput pelbagai pihak berkaitan untuk mewujudkan sinergi dalam aktiviti bagi mencapai matlamat bersama,” katanya.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyertaan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serian, SMK Muara Tuang dan SMK St Thomas Kuching bagi pertandingan kuiz, seni dan setem.

Advertisement