Anda di sini

Terapkan semangat perpaduan dari bangku sekolah

Advertisement

Program Sukan Perpaduan Murid Asrama Malaysia antara inisiatif KPM dedahkan murid dengan kepelbagaian budaya: Zainal 

Raisin menerima cenderamata daripada Azhar (kiri) selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program Sukan Perpaduan Murid Asrama Malaysia Peringkat Kebangsaan 2022 di Miri malam tadi.
Raisin menerima cenderamata daripada Azhar (kiri) selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Program Sukan Perpaduan Murid Asrama Malaysia Peringkat Kebangsaan 2022 di Miri malam tadi.

"Peluang seperti ini dapat mendedahkan murid lebih dekat dengan budaya heterogen pelbagai kaum apabila memperkasa kemantapan ilmu dan menerima cara hidup berlainan budaya, adat resam sekali gus mengukuhkan nilai perpaduan antara kaum serta wilayah meskipun melalui aktiviti sukan."

Zainal Abas
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM 

Oleh Mohamad Norhadie Sahari

MIRI: Program Sukan Perpaduan Murid Asrama Malaysia antara inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memberi pendedahan awal terhadap kepelbagaian budaya kepada murid seawal bangku sekolah. 

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM Zainal Abas berkata program itu merupakan kunci membuka minda murid untuk menerima pelbagai ilmu, pengalaman dan kesedaran diri masing-masing tentang kepentingan perpaduan.

"Peluang seperti ini dapat mendedahkan murid lebih dekat dengan budaya heterogen pelbagai kaum apabila memperkasa kemantapan ilmu dan menerima cara hidup berlainan budaya, adat resam sekali gus mengukuhkan nilai perpaduan antara kaum serta wilayah meskipun melalui aktiviti sukan," katanya.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Pengarah Kanan Raisin Saidin pada Majlis Penutupan Program Sukan Perpaduan Murid Asrama Malaysia Peringkat Kebangsaan 2022 di sini malam tadi.

Zainal berkata, program itu juga mampu meningkatkan jati diri murid yang diberikan peluang untuk berinteraksi dengan golongan sebaya mereka daripada berlainan latar belakang.

"Selain itu, ia menjana daya saing secara positif dalam pelbagai aktiviti sukan agar mereka menjadi pemimpin cemerlang mampu berdiri gah yakni duduk sama rendah, berdiri sama tinggi serta mampu berdaya saing di jagat raya," jelasnya.

Setiap tahun, pelbagai program dianjurkan menerusi kerjasama sesama ahli keluarga Asrama Malaysia bagi mempromosikan kemasukan murid Asrama Malaysia termasuk Sukan Perpaduan pada kali ini terbuka kepada penyertaan murid asrama harian dari negeri-negeri lain selain AMal. 

Sehubungan itu, program-program dianjurkan bersama sudah pasti merangkumi aspek fizikal, suasana dan aktiviti menjurus kepada pemupukan perpaduan dan sensitiviti terhadap agama, budaya, adat resam dan kepercayaan. 

"Menerusi program baharu tahun ini iaitu Program Sukan Perpaduan, kita mendapati bahawa semua murid pelbagai kaum telah berpeluang bersukan dan tinggal bersama serta memahami budaya antara satu sama lain. 

"Di samping itu, program ini dapat menerapkan elemen-elemen terdapat dalam konsep 'Sekolahku Sejahtera'," jelasnya.

Kini pendedahan kepentingan perpaduan sosial dan perdamaian menjadi agenda penting untuk generasi muda kerana mereka merupakan tonggak utama kejayaan dan pembangunan negara pada masa depan. 

"Murid-murid ialah kesuma bangsa dan tiang negara maka adalah penting untuk mereka menjalinkan hubungan akrab walaupun terdapat perbezaan bangsa, budaya dan agama. 

"Justeru, pemupukan perpaduan harus bermula di sekolah dengan membuka peluang memupuk nilai-nilai keharmonian, perpaduan dan kedamaian antara kaum," katanya.

Sementara itu, program itu melibatkan semua ahli keluarga Asrama Malaysia iaitu Asrama Malaysia Sarawak, Asrama Malaysia Kuala Lumpur, Asrama Malaysia Johor, Asrama Malaysia Sabah dan melibatkan penyertaan murid-murid asrama harian negeri-negeri lain seluruh Malaysia. 

Turut hadir Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad.

Advertisement