Anda di sini

Salur peruntukan besar kepada Sabah dalam Bajet 2023: Shahril

Advertisement
MOHD SHAHRIL OSIN
MOHD SHAHRIL OSIN



KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan diharap dapat menyalurkan peruntukan yang besar kepada negeri Sabah dalam Bajet 2023 akan datang bagi membolehkan Sabah membangun seiring dengan negeri lain dari pelbagai aspek.


Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, antara yang perlu diberi keutamaan adalah keperluan asas yang melibatkan infrastruktur jalan raya, bekalan air bersih serta bekalan elektrik.


Ketiga-tiga perkara itu perlu diambil berat oleh kerajaan Persekutuan kerana ia berupaya memberi impak kepada aspek-aspek lain terutama ekonomi serta pelancongan di negeri Sabah yang secara tidak langsung turut merangsang pertumbuhan pelbagai industri.


Tambah beliau lagi, kerajaan tidak boleh melengah-lengahkan lagi pembangunan di Sabah kerana Indonesia pada ketika ini sedang rancak dalam proses membangunkan Kalimantan sebagai ibu negara baharu yang dikenali sebagai 'Nusantara'.


Disebabkan itu, kerajaan Persekutuan seharusnya memberi keutamaan kepada Sabah dalam bajet akan datang bagi meningkatkan lagi kemudahan asas tersebut selari dengan aspirasi 'Keluarga Malaysia'.


Selain peruntukan pembangunan prasarana, Shahril turut meletakkan harapan agar kerajaan Persekutuan dapat mewujudkan lebih banyak pusat-pusat latihan berkaitan, di negeri Sabah bagi membolehkan rakyat di negeri ini mendapat bimbingan untuk memenuhi pasaran kerja sekaligus melahirkan usahawan berjaya.


Pusat-pusat latihan ini katanya, berupaya memberi 'sinar' kepada golongan belia di Sabah untuk memajukan diri ke satu tahap yang berpotensi bagi memenuhi permintaan semasa serta berupaya menjadi usahawan dalam bidang tertentu masing-masing.


Jelas beliau lagi, sekiranya Sabah memiliki ramai golongan profesional dalam bidang tertentu ianya secara tidak langsung dapat mendorong kedatangan pelabur luar untuk menjalankan serta membuka perniagaan di Sabah.


Justeru kerajaan perlu bertindak untuk membangunkan Sabah dengan menyalurkan peruntukan yang lebih besar dalam bajet akan datang dalam setiap aspek bagi memastikan Sabah tidak lagi berada di belakang dalam soal pembangunan.
 

  • oleh
  • Advertisement