Anda di sini

Pusat pentadbiran GKCDA ditempatkan di Serian

Advertisement
 Sagah (dua kiri) bersedia memalu gong sebanyak tujuh kali sebagai gimik pelancaran Pesta Danu 2022 sambil disaksikan (dari kanan) Dr Sinang, John, Selamat, Lim, Joseph dan Manyin.
RASMI: Sagah (dua kiri) bersedia memalu gong sebanyak tujuh kali sebagai gimik pelancaran Pesta Danu 2022 sambil disaksikan (dari kanan) Dr Sinang, John, Selamat, Lim, Joseph dan Manyin.

SERIAN: Kabinet negeri bersetuju pusat pentadbiran Lembaga Pembangunan Disatukan Greater Kuching (GKCDA) ditempatkan di Serian.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Inovasi & Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Roland Sagah Wee Inn ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Danu 2022 malam tadi.

"Kami telah bermesyuarat dan memutuskan Pejabat Residen Serian akan digunakan sebagai pusat pentadbiran GKCDA.

“Kerajaan Sarawak menerusi kabinet negeri telah meluluskannya," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu.

Sagah berkata GKCDA akan menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi di kawasan luar bandar Kuching dan ia meliputi bahagian Serian.

"Pembangunan GKCDA akan menggunakan pendekatan di mana kita mendengar apa yang rakyat mahu bukan kementerian memberitahu rakyat apa mereka haruskan lakukan," jelasnya.

Beliau menambah, GKCDA akan memberi penekanan kepada usaha mengenal pasti industri-industri yang sesuai dibangunkan di kawasan-kawasan di bawah bidang kuasanya seperti pertanian dan pelancongan.

Bagi sektor pertanian, katanya penting untuk GKCDA mencari tanaman terbaik untuk ditanam dan jenis industri berasas pertanian dibangunkan.

Sagah juga percaya, agropelancongan amat sesuai diusahakan di kawasan-kawasan di bawah GKCDA berikutan meningkatnya minat pelancong melawat ke ladang-ladang.

"Kita juga akan melihat projek-projek yang sudah dilaksanakan sekarang. Bagi mengenal pasti projek mana yang 'sakit' dan menentukan 'preskripsi’ yang diperlukan,” tambahnya.

Penubuhan GKCDA diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Majlis Rumah Terbuka Gawai Peringkat Bau pada 12 Jun 2022.

Abang Johari berkata GKCDA ditubuhkan berikutan permintaan daripada wakil rakyat Bidayuh agar agensi pembangunan yang khusus diwujudkan di kawasan-kawasan mereka dari Lundu hingga Serian, yang berada dalam Greater Kuching.

Mengenai Pesta Danu 2022, Sagah berkata acara yang berlangsung selama 10 hari itu (30 September hingga 9 Oktober) bertujuan mempromosikan bandar Serian sebagai destinasi pelancongan pada masa sama menjana ekonomi tempatan.

Beliau berkata kira-kira 60,000 pengunjung dijangka menyaksikan pesta itu dan sekurang-kurangnya menjana pendapatan RM100,000 sepanjang 10 hari pesta itu berlangsung.

"Pelbagai acara dan pertandingan diadakan sepanjang pesta berlangsung yang menawarkan hadiah berjumlah RM45,000 untuk dimenangi," tambahnya.

Pesta Danu 2022 merupakan penganjuran edisi ketiga sejak diperkenalkan pada 2018. Ia tidak diadakan pada 2020 dan 2021 disebabkan pandemik COVID-19.

Hadir sama Penasihat Pendidikan di Jabatan Premier Sarawak Datuk Amar Michael Manyin Jawong, ADUN Bukit Semuja John Ilus, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, Residen Serian Selamat Jati Yanjah, Pegawai Daerah Serian D Lim Hock Meng dan Pegawai Daerah Tebedu Joseph Liaw.

Advertisement