Anda di sini

Pemulihan negara pasca pandemik adalah lebih daripada hanya pemulihan ekonomi – Dr Hartini

Advertisement
Dr Hartini bersama barisan pimpinan MPN yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr Hartini bersama barisan pimpinan MPN yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apabila COVID-19 menyerang dunia pada awal 2020, tiada siapa sangka bahawa pandemik itu akan meninggalkan kesan yang lama untuk diperbetulkan.

Ramai yang kehilangan pekerjaan, simpanan habis digunakan, kanak-kanak membesar kekurangan zat, kehilangan ahli keluarga akibat kematian dan banyak lagi kisah-kisah yang menyayat hati berlaku dalam tempoh tersebut.

Dalam usaha untuk merapatkan jurang serta memastikan bantuan disalurkan dalam fasa pemulihan, Kerajaan telahpun melancarkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk membantu mereka yang memerlukan.

Ahli MPN, Datuk Dr Hartini Zainuddin yang dikenali sebagai aktivis sosial yang lantang bersuara untuk keselamatan sosial dalam dan luar negara berkata, meskipun kita kini telah keluar daripada fasa pandemik, masih terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan.

“Pemulihan negara pasca pandemik adalah lebih daripada hanya pemulihan ekonomi. Ia lebih daripada itu. Masih terdapat pelbagai isu yang perlu diselesaikan dan kita perlu terus memperkasa setiap segmen masyarakat, bukan hanya ekonomi tetapi juga perlindungan sosial, pendidikan, aktivisme dan banyak lagi,” katanya dalam sebuah temu bual berkumpulan bersama pihak media.

Dari sudut pendidikan, beliau berkata Malaysia telah menutup sekolah selama 42 minggu – paling lama di Asia Tenggara, dan telah menyebabkan kanak-kanak terutamanya mereka yang datang dari kumpulan berpendapatan rendah ketinggalan jauh.

“Sejujurnya, penutupan ini akan mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk diperbetulkan. Ya, ini merupakan satu tugas yang sukar untuk digalas, namun kita tidak boleh berputus asa. Maka, jika kita ingin pulih, kita semua perlu berganding bahu melakukan yang terbaik, bukan yang minimum sahaja,” katanya.

Hartini juga berkata, pandemik ini telah menyebabkan peningkatan kos sara hidup dan inflasi, sehingga menolak kumpulan B40 menjadi B60 dan M40 menjadi B40.

“Sekiranya tiada tindakan segera diambil, ini mampu menjejaskan produktiviti negara serta memburukkan lagi jurang pendapatan yang sedia ada,” katanya.

Apa yang lebih menyedihkan, kanak-kanak yang lahir semasa pandemik terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah tidak mendapat makanan bernutrisi sejak mereka dilahirkan sehingga menyebabkan kadar kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun meningkat.

Tambahnya, pandemik ini juga telah menyebabkan lebih 25 peratus taska dan tadika ditutup, sekali gus menyebabkan ibu tunggal tidak mampu bekerja dan terpaksa tinggal di rumah untuk menjaga anak mereka.

“Bukannya mereka tidak mahu bekerja, tetapi mereka tidak boleh. Untuk bergerak ke satu tempat ke tempat yang lain memerlukan wang, dan mereka tiada wang.

“Ini yang harus kita fahami. Ini lebih daripada hanya memberi makanan. Mengagihkan bakul makanan sekali setahun tidak cukup. Isu pekerjaan, perlindungan sosial, perumahan dan lain-lain harus dilihat dengan lebih teliti,” katanya.   

Jelasnya lagi, MPN yang dilancarkan pada Julai 2021 mempunyai misi untuk merapatkan jurang antara rakyat Malaysia dan telah menganjak negara untuk memperkasakan keselamatan sosial.

“Ia merupakan satu jalan yang sukar. Fasa pandemik merupakan satu fasa yang meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam kita semua, dan kini saya berbangga kerana kita telah menjadi lebih baik, meskipun pelbagai rintangan dihadapi,” katanya.

Tambahnya lagi, meskipun susah untuk mendapatkan persetujuan semua pihak, MPN telah berjaya melaksanakan beberapa perkara penting, dan mereka tidak bercadang untuk berhenti.

“Meskipun terdapat suara-suara untuk membubarkan MPN, kami akan terus melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kerana kami berdiri disini untuk membantu orang yang memerlukan,” katanya.

Sejak MPN ditubuhkan, kira-kira 15,000 isi rumah telah dibantu dan dalam tempoh pandemik selama dua tahun setengah, sebuah pusat data telah ditubuhkan dan MPN kini mengetahui siapa, di mana dan bagaimana untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Kebanyakan masa, apabila kami menerima SMS memohon bantuan makanan, mereka sudah kelaparan. Kita tidak membiarkan mereka kelaparan hanya sebab mereka tidak mampu. Ini merupakan tugas kita untuk membantu,” katanya.

Dalam 15,000 penerima bantuan, Hartini berkata kira-kira 30 peratus adalah daripada Sabah dan Sarawak.

“Kami mengetahui bahawa Sabah dan Saarwak adalah sangat besar dan terdapat banyak bahagian yang sukar untuk bantuan sampai dengan cepat. Maka, kami telah berkolaborasi dengan NGO di lapangan untuk memastikan bantuan sampai secepat mungkin.

Dr Hartini (dua dari kiri) di SMK Bahang, Penampang selepas melaksanakan kerja di lapangan.
Dr Hartini (dua dari kiri) di SMK Bahang, Penampang selepas melaksanakan kerja di lapangan.

MPN telah melancarkan usahasama dengan bantuan empat NGO iaitu Persatuan Bulan Sabit Merah, BANTU (Satu Gabungan 17 NGO di Sabah), Yayasan Sejahtera dan Zero Hunger.

Di bawah MPN, lima perakuan yang telah dipohon untuk tindakan segera Kerajaan iaitu - kekurangan tenaga kerja dalam pelbagai sektor terutamanya perladangan yang telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM20 billion pada 2021, jaminan keselamatan bekalan makanan, keciciran pembelajaran, bantuan PMKS dan merancakkan produktiviti industri pelancongan yang kini masih di tahap minimum selepas teruk terkesan akibat penutupan sempadan negeri dan negara.

MPN telah ditubuh pada 21 Julai 2021 dan dipengerusikan oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin disertai Menteri-Menteri Kanan, Menteri-Menteri, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, wakil-wakil parti pembangkang serta pakar-pakar ekonomi, sosial dan kesihatan. Misi utama MPN adalah bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dijayakan dengan selamat, teratur dan inklusif untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

MPN kini memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara dan sedang menghalusi Pelan Pemulihan Negara 2.0 (PPN2.0) bagi memastikan ekonomi negara kembali pulih terutamanya sektor-sektor yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19.

Advertisement