Anda di sini

Pekebun kecil mohon harga getah adil, berpatutuan

Advertisement
 Ahli-ahli USAHA terdiri daripada pekebun kecil menuntut harga adil dan berpatutan.
TUNTUT: Ahli-ahli USAHA terdiri daripada pekebun kecil menuntut harga adil dan berpatutan.


KOTA KINABALU: Pertubuhan Pekebun-Pekebun Kecil Bersatu Sabah (USAHA) meminta kerajaan meneliti tuntutan untuk mendapatkan harga getah yang adil dan berpatutan.

Presiden USAHA Chua Men Nam berkata, walaupun masalah harga getah itu sudah diutarakan sejak tahun 2006, tetapi sehingga kini hasilnya amat mengecewakan kerana belum memperolehi penyelesaian.

“Kami sedia maklum bahawa harga komoditi termasuk getah ditentukan oleh pasaran antarabangsa, tetapi harga bahan mentah getah adalah ditentukan oleh pemilik kilang,” katanya sambil memberitahu di Sabah hanya terdapat satu kilang berkenaan yang dimiliki agensi kerajaan.

Beliau berharap kementerian berkaitan dapat meninjau lebih mendalam mengenai isu harga getah berkenaan.

Menurutnya, dua fakta melibatkan penentuan harga barang mentah selain harga SMR 20 sebagai asas pengiraan iaitu pekebun-pekebun kecil biasanya menjual kentalan yang sudah lebih 14 hari (KGK 75 peratus), bahan ini dianggap Gred 1 oleh Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Selain itu katanya, selepas ditolak kos pemprosesan kilang LIGS setinggi RM1.65 sekilo, jika dibandingkan dengan kos pemprosesan swasta di Semenanjung Malaysia iaitu hanya 65 sen sehingga 75 sen sekilo.

Beliau meminta kerajaan meninjau dan menyiasat perkara itu agar pekebun-pekebun kecil getah mendapat harga yang adil dan berpatutan.

Chua berkata, USAHA juga meminta kerajaan membatalkan cukai eksport 10 peratus untuk bahan mentah getah supaya pekebun-pekebun kecil getah boleh menjual bahan mentah ke negeri jiran atau Semenanjung Malaysia.

“Dengan adanya cukai 10 peratus ini, seolah-olah pihak tertentu menggunakan cara ini menyekat pendapatan pekebun-pekebun kecil getah, kerana mereka tidak mempuyai pilihan lain kecuali menjual kepada pihak berkenaan walaupun mengetahui harga getah di negeri jiran atau semenanjung jauh lebih mahal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan USAHA kali ke-16 di Penampang baru-baru ini.

Katanya, harga bahan mentah di Sabah adalah RM2.41 sekilo berbanding bahan serupa yang dibeli pembeli swasta di Seremban iaitu RM3.60 sekilo.

Menurutnya, pihaknya akan terus menuntut harga getah yang adil dan berpatutan sehingga satu penyelesaian tercapai demi kebaikan pekebun-pekebun kecil getah di Sabah.

Advertisement