Anda di sini

Ordinan Pembangunan Perumahan Sarawak perlu dipinda masukkan kemudahan pertolongan cemas 

Advertisement
 Dr Sim (tengah) bersama Mohammad Hamdan (kiri) dan Khirudin pada sidang media di sebuah hotel di Kuching,hari ini.
PERLU PINDA: Dr Sim (tengah) bersama Mohammad Hamdan (kiri) dan Khirudin pada sidang media di sebuah hotel di Kuching,hari ini.

KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melakukan pindaan yang perlu ke atas Ordinan Pembangunan Perumahan Sarawak untuk memasukkan kemudahan-kemudahan pertolongan cemas bagi bangunan-bangunan terpilih dalam usaha memperkukuhkan aspek keselamatan di bangunan tersebut.

Beliau berkata Kerajaan Sarawak mengutamakan keselamatan rakyat dan memasukkan ciri-ciri keselamatan tambahan bangunan-bangunan terpilih sangat penting.

"Saya akan meminta kementerian saya melakukan pindaan yang perlu ke atas Ordinan Pembangunan Perumahan Sarawak. Kita akan melakukannya seiring dengan dasar negara dan negeri serta keperluan semasa.

"Misalnya, kita memerlukan Defibrillator Luaran Automatik (AED) dipasang, jika ada orang pengsan, kita tidak hanya memerhati dan menunggu doktor atau paramedik tiba untuk memberi bantuan kecemasan.

"Ini penting kerana penyakit jantung pembunuh nombor satu di Malaysia dan kita perlu bersiap sedia menghadapi saat cemas kerana Sarawak akan semakin maju menjelang 2030," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dr Sim berkata sudah tiba masanya untuk meminda ordinan tersebut kerana 20 tahun lalu tidak terdapat banyak bangunan atau kondominium yang tinggi.

"Kita perlu berubah mengikut masa. Undang-undang kecil ini tepat pada masanya, bagi meningkatkan keselamatan kebakaran terutama di bangunan-bangunan tinggi. 

"Kita tidak mahu ketika kita semakin kaya, bangunan kita tidak selamat atau tidak ada pengurusan keselamatan. Apabila kita semakin kaya, sudah tentu kita mahu mengakses kepada ciri-ciri (bangunan) yang lebih baik, setanding dengan piawaian global. Negara-negara seperti China dan Korea Selatan maju ke hadapan dalam aspek ini," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Sim berkata bantuan kecemasan ketika ini tidak disediakan bagi menghadapi insiden seseorang pengsan di tempat awam.

Menurutnya, memandangkan Sarawak menuju negeri maju berpendapatan tinggi, negeri ini perlu melihat bangunan-bangunan terpilih dilengkapi kemudahan-kemudahan pertolongan cemas seiring dengan piawaian global.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah Bomba Sarawak Datu Khirudin Drahman.

Advertisement