Anda di sini

Naik taraf kemudahan asas, infrastruktur di DUN Meradong giat dilaksanakan - Ding 

Advertisement
 Ding bersama rombongan melakukan lawatan kerja ke tapak pembinaan Jalan Tong Ah di Bintangor.
Ding bersama rombongan melakukan lawatan kerja ke tapak pembinaan Jalan Tong Ah di Bintangor.

BINTANGOR: Usaha menaik taraf beberapa kemudahan asas dan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong kini giat dilaksanakan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiiing berkata pembangunan itu merangkumi kerja-kerja pembinaan parit, jalan raya, gelanggang sukan, titian kayu dan simen, jeti dan sebagainya.

Menurutnya, semua yang dilakukan itu adalah untuk memastikan keperluan dan permohonan rakyat di kawasan tersebut sentiasa diutamakan dan diberi perhatian untuk diselesaikan.

"Perkara paling utama masa ini kita berharap semua pihak dapat memberi kerjasama dan maklumat tepat berkaitan masalah dan keperluan mereka dari sesebuah kawasan.

"Pastikan permohonan mereka itu adalah untuk manfaat bersama dan bukan bersifat kepentingan diri sendiri," katanya ketika meninjau pelaksanaan Projek Saliran dan Perparitan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Sungai Tulai Bintangor, hari ini.

Ding berkata, terdapat dua projek giat dijalankan di kawasan tersebut iaitu pembinaan parit di Sungai Tulai sepanjang dua kilometer dan pembinaan Jalan Tong Ah sepanjang 1.5 kilometer. 

"Berdasarkan tinjauan dilakukan, kita berpuas hati dengan proses pembinaan kedua-dua projek itu dan berharap dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

"Kita juga berharap dengan siapnya projek itu nanti dapat menyelesaikan masalah dihadapi penduduk di kawasan terbabit," jelasnya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Tulai Kapitan Wong Ming Ging, Pemanca Yii Hee Sieng dan wakil JPS serta KPLB merupakan agensi pelaksana projek terbabit.

Advertisement