Anda di sini

MBS mahu Bajet 2023 perkasa pendidikan pengurusan kewangan belia

Advertisement
 Abqaree pada sidang media MBS berkaitan Bajet 2023.
SIDANG MEDIA: Abqaree pada sidang media MBS berkaitan Bajet 2023.

KOTA KINABALU: Pendidikan pengurusan kewangan dalam kalangan belia di negeri ini perlu diperkasakan berikutan kurangnya pemahaman aspek ekonomi melibatkan golongan muda khususnya yang berstatus B40.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Abqaree Fawwaz Abekan berkata, kajian mengenai kerapuhan kewangan belia khususnya di bandar yang dijalankan MBS mendapati ramai dalam kalangan belia tidak mampu berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi pada masa kini.

Katanya, apa yang lebih membimbangkan, kajian berkenaan turut membuktikan belia tidak mempunyai simpanan kewangan pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau mahu agar kerajaan bertindak lebih proaktif dalam memberikan kesedaran mengenai pendidikan pengurusan kewangan kepada golongan belia.

"MBS banyak menjalankan program dan antara aktiviti yang sering mendapat sambutan belia adalah program sukan.

"Bagaimanapun MBS turut memfokuskan beberapa program ke arah pembangunan ekonomi contohnya baru-baru ini kita mengadakan kursus penanaman cendawan dan penternakan udang.

"Kita dapat lihat, bagi penganjuran program ekonomi, pemahaman dari segi pengurusan ekonomi dalam kalangan belia masih kurang," katanya pada sidang media di sini semalam.

Menurutnya, berdasarkan kajian di peringkat MBS sendiri mengenai kesediaan belia dengan kerapuhan ekonomi, menunjukkan mereka masih kurang faham berkaitan perkara berkenaan.

Justeru, pihaknya meminta agar perkara berkaitan pendidikan kewangan untuk golongan belia diberi perhatian serius oleh kerajaan Persekutuan dalam pembentangan Bajet 2023 nanti.

"Selain itu, pendidikan pengurusan kewangan amat penting memandangkan ramai anak-anak muda sekarang ini terlibat dengan masalah kebankrapan.

"Kebanyakan yang terlibat ini lebih suka mengamalkan cara hidup seperti 'biar papa asal bergaya' selain terdesak untuk mengikuti trend terkini tanpa mengambil kira kemampuan diri.

"MBS mengambil langkah menjalin kerjasama erat dengan beberapa pihak antaranya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi membantu menangani masalah ini dengan memberi pendedahan kepada belia mengenai kepentingan pengurusan kewangan," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, masalah ekonomi juga menjadi antara punca yang menyumbang kepada peningkatan kes perceraian di negeri ini.

Beliau berkata, mengikut statistik, Sabah antara negeri yang menjadi penyumbang tertinggi kepada kes perceraian di Malaysia membabitkan rekod sebanyak 4,010 kes pada 2021 iaitu peningkatan lebih 81 peratus dari tahun sebelumnya.

Menurutnya, MBS mencadangkan agar pendidikan rumahtangga juga harus diperhebatkan kerana antara punca utama perceraian disebabkan oleh ketahanan ekonomi yang sangat rendah.

Abqaree berkata, keadaan itu mengakibatkan kepada pengabaian, masalah sosial serta tindakan luar kawalan dalam kalangan anak-anak.

"Dalam aspek kesihatan, fokus perlu diberikan kepada kesihatan mental kerana kes bunuh diri kebelakangan ini sangat tinggi dan hasil kajian menunjukkan masalah ekonomi antara punca yang membawa kepada kejadian bunuh diri serta kegagalan belia dalam pengurusan tekanan diri.

"Sehubungan itu, kerajaan menerusi Bajet 2023 harus melihat keperluan pembangunan ekonomi belia secara menyeluruh memandangkan masih ada inisiatif yang disediakan kerajaan tidak dapat dimanfaatkan belia," katanya.

Pihaknya menyeru agar kerajaan meningkatkan nilai pemberian tunai sebanyak 50 peratus melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada golongan B40 supaya kuasa beli belia dapat ditingkatkan.

"MBS juga meminta kerajaan membantu dari segi pendanaan kepada usahawan dari Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti yang disediakan kerajaan negeri menerusi inisiatif Portal Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS).

"Kerajaan juga harus menyediakan pendidikan bagi peningkatan skala pendapatan serta memberi laluan kepada jalinan kerjasama antara usahawan tempatan dengan pelabur luar negara.

"Selain itu, beri penurunan harga kepada pembelian rumah pertama untuk golongan B40, atau kepada isi rumah yang baharu berkeluarga memandangkan ini adalah isu yang dekat dengan belia," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pembangunan industri eko-pelancongan luar bandar juga perlu diperkasakan agar ia mampu membantu meningkatkan pendapatan golongan B40 di luar bandar.
 

  • oleh
  • Advertisement