Anda di sini

Integrasikan teknologi dalam penjagaan kesihatan

Advertisement

Pusat Perubatan Pakar Normah bakal terima penambahan bangunan hospital baharu dalam masa terdekat

 Abang Johari melihat peralatan pada Majlis Perasmian Makmal Kardiovaskular Baharu (Cathlab), MSCT dan MRI di NMSC semalam. Turut kelihatan Dr Sim serta tetamu kehormat lain. - Gambar Roystein Emmor
Abang Johari melihat peralatan pada Majlis Perasmian Makmal Kardiovaskular Baharu (Cathlab), MSCT dan MRI di NMSC semalam. Turut kelihatan Dr Sim serta tetamu kehormat lain. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Pusat Perubatan Pakar Normah (NMSC) bakal menerima penambahan bangunan hospital baharu dalam masa terdekat.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan visi  beliau untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam sektor penjagaan kesihatan negeri.

Menurutnya, bangunan hospital baharu itu akan dilengkapi dengan kemudahan terkini.

"Kita akan mendapatkan pendapat pakar untuk membantu dari segi bagaimana bangunan itu sepatutnya dibina dan apakah kemudahan IT dan peralatan perubatan terbaik yang mesti dilengkapi di bangunan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Makmal Kardiovaskular Baharu (Cathlab), Multislice Computerized Tomography (MSCT) dan Magnetic Resonance Imaging (MRI) di NMSC di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, beliau merancang untuk menambah baik NMSC berikutan lawatannya ke Itali baru-baru ini.

“Di sana, saya melihat interaksi antara doktor dan pakar bedah di Itali dan Amerika Syarikat menggunakan ‘augmented reality’ (AR) dan realiti maya untuk merawat pesakit.

“Mereka menggunakan realiti maya untuk mengesan penyakit dan mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh pesakit.

"Itulah sebabnya saya percaya kepada teknologi dalam penjagaan perubatan dan sukacita dimaklumkan bahawa kita mahu mengubah Normah (NMSC) mengikut cara tersebut," katanya.

Abang Johari turut mengumumkan dengan adanya bangunan baharu NMSC, sebuah hotel akan dibina bersebelahan untuk menyediakan penginapan kepada pesakit dan ahli keluarga mereka atau pelawat yang bersama mereka.

“Bagi lokasi pula, kita memerlukan hospital yang mesra alam di samping menyediakan ruang yang selesa untuk pesakit bukan sahaja semasa menjalani rawatan bahkan selepas rawatan.

“Namun  saya memberi jaminan hari ini bahawa saya akan membina sebuah bangunan Normah baharu dan ia akan menjadi hospital yang canggih.  Ini memerlukan banyak wang tetapi jangan risau, kita akan cari,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan menambah baik integrasi NSMC dengan sistem kecerdasan buatan (AI) yang boleh menyampaikan penjagaan kesihatan dengan lebih berkesan.

“Apabila kita menggunakan kuasa AI dalam ramalan perubatan, kita boleh meramalkan penyakit lebih awal seterusnya doktor boleh melakukan diagnosis dengan lebih cepat dan kesan penyakit itu dapat dikurangkan seterusnya menghasilkan kesejahteraan pesakit yang lebih baik.

”Dengan AI juga kes kemasukan boleh dikurangkan sekali gus mengurangkan masalah kekurangan doktor dan kerja lebih masa,” katanya.

Beliau berkata, sistem penjagaan kesihatan semasa negeri ini telah disediakan untuk merawat pesakit yang sudah mempunyai masalah kesihatan dan pesakit dirawat berdasarkan simptom mereka.

“Pendekatan reaktif ini memerlukan kos, masa dan sumber yang besar. Kita perlu mengubah pendekatan ini kerana masa depan penjagaan kesihatan adalah dalam pencegahan, bukannya mengubati. 

“Inovasi seperti robot, digital dan AI adalah ‘pembantu pakar perubatan’ yang mempunyai potensi untuk membantu orang ramai supaya kekal sihat seterusnya mengurangkan kekerapan bertemu dengan doktor,” katanya.

Memberi bayangan AI akan menjadi masa depan dalam kemajuan perubatan, Abang Johari berkata, AI harus dimasukkan ke dalam perkhidmatan dan pengurusan perubatan hospital.

Ini kerana katanya, ia memberikan data yang tepat, membantu merekod data dengan cekap dan melindungi isu undang-undang perubatan dalaman.

“Masa depan adalah untuk memasukkan AI ke dalam prosedur perubatan, peralatan perubatan dan rawatan perubatan.

“Saya percaya AI dalam sains perubatan menyediakan lebih daripada sekadar rawatan.  Kita bercakap mengenai keberkesanan rawatan, pemantauan rawatan dan keselamatan pesakit menggunakan AI,” katanya.

Beliau berkata, AI kini sudah berada dalam pengimbas MRI terkini, sistem kateterisasi jantung dan pengimbas CT di NMSC.

“Disebabkan itu, semua peralatan kini menjadi lebih baik dan bukan sekadar menyediakan imej perubatan.  

“Kita kini bercakap tentang ketepatan dan data komputer untuk pembinaan semula imej resolusi tinggi dan melihat ke dalam fungsi organ manusia.

“Saya berbangga apabila mengetahui Normah akan menjadi hospital pertama di Borneo yang menggabungkan kecerdasan robotic dalam pemulihan. 

“Terapi pemulihan ini menggunakan cyborg untuk membantu orang yang lumpuh akibat kecederaan atau gangguan pada sistem saraf pusat seperti kecederaan saraf tunjang, strok, kecederaan otak traumatik, multiple sclerosis dan penyakit neurodegenerative untuk mendapatkan semula keupayaan untuk berjalan semula.

"Sut robot itu akan menambah baik, menyokong dan meningkatkan mobiliti anggota badan pemakai melalui teknologi sibernik yang menggabungkan interaksi antara manusia, mesin dan maklumat," katanya.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan NMSC Dato Dr Au Yong Kien Hoe.

  • oleh
  • Advertisement