Anda di sini

AADK tahan tiga pesalah jalan raya kerana disyaki positif syabu

Advertisement
 Pengguna jalan raya yang diarahkan untuk membuat saringan air kencing oleh AADK.
PERIKSA: Pengguna jalan raya yang diarahkan untuk membuat saringan air kencing oleh AADK.

KUCHING: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hari ini berjaya menahan tiga pesalah jalan raya dalam Operasi Pemeriksaan Bersepadu Kenderaan Bermotor (OPS GERAK) di KM59.5 Jalan Kuching-Serian kerana disyaki positif syabu.

Penolong Pegawai AADK Serian Thommyson Jeveni berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan tersebut hasil kerjasama bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak.

"AADK telah menahan seramai tiga daripada 28 pengguna jalan raya yang disaring ujian air kencing atas kesalahan penyalahgunaan dadah jenis syabu atau Methamphetamine.

"Mereka yang ditahan berumur antara 18 hingga 48 tahun, semuanya lelaki dan berwarga tempatan," katanya pada sidang media OPS GERAK sempena sambutan Hari Ozon Sedunia Peringkat Negeri Sarawak di Serian hari ini.

Pengguna jalan raya yang diarahkan membuat saringan air kencing itu dipilih secara rawak dengan melihat sekiranya mereka mempunyai ciri-ciri ketagihan.

Keputusan saringan awal menunjukkan terdapat penggunaan dadah jenis syabu atau Metamfetamine dan akan dihantar untuk diproses di unit patologi atau kimia Hospital Umum Sarawak (HUS) dalam tempoh sebulan bagi pengesahan positif.

Kesalahan mereka yang positif ini adalah di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang boleh direman 14 hari oleh pegawai AADK sehingga keluar keputusan patologi untuk proses seterusnya, tegasnya.

"Terdapat tiga proses semuanya, mereka tidak bebas tetapi boleh dijamin dan dibebaskan bersyarat. Selepas mendapat keputusan kalau negatif kita akan maklumkan juga.

"Manakala jika keputusan adalah positif kita akan rujuk mereka kepada pegawai kesihatan untuk pengesahan penagih dadah. Kalau positif kita maklumkan kepada mereka," tambah beliau.

Saringan air kencing yang dijalankan semalam adalah untuk dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), ganja (THC) dan Methamphetamine.

Turut hadir sama Ketua Penolong Pengarah Kanan JAS Negeri Sarawak Mohamad Zaihan Lek dan Ketua Stesen Penguatkuasa JPJ Serian Jaddyson Anndy Ameng.
 

Advertisement