Anda di sini

837 suspek ditahan, RM104,713 dadah dirampas pada suku ketiga 2022

Advertisement
 

KUCHING: Seramai 837 suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah dadah berjaya diberkas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sepanjang empat bulan pada suku ketiga tahun 2022.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah memberitahu, ia merupakan hasil kejayaan operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching bagi tempoh Jun hingga September yang dilakukan di sekitar bandar raya Kuching.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 765 merupakan lelaki manakala 73 tangkapan adalah perempuan.

"Empat daripada jumlah tangkapan itu merupakan warga asing dan kesemua tangkapan berumur dalam lingkungan 15 hingga 64 tahun.

"Jumlah kes yang dikesan pada tempoh empat bulan tersebut ialah sebanyak 760 kes melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM104,713.90," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahsmon menambah, antara rampasan ialah 431.11 gram (g) dadah jenis syabu, ketamin (242.07g), ganja (321.59g), pil ekstasi (283 biji), pil erimin 5 (469 biji), serbuk ekstasi (265 g) dan nospan (762 biji).

Dalam pada itu, jelasnya kadar pertuduhan kesemua kes dalam tempoh terbabit ialah sebanyak 53.35 peratus berjaya dilaksanakan.

Advertisement