Anda di sini

6,000 bangunan seluruh negara mendapat persijilan kebakaran

Advertisement
Gambar fail

KUCHING: Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata kira-kira 6,000 daripada lebih 9,000 bangunan terpilih di seluruh negara telah mendapat persijilan kebakaran dengan mewujudkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT).

Beliau berkata semua bangunan terpilih ini mesti ada ERT masing-masing.

"Baki lebih 3,000 bangunan terpilih dalam proses menubuhkan ERT masing-masing. 

“ERT akan melakukan tindakan kecemasan pertama sekiranya berlaku sebarang bencana," katanya pada sidang media selepas menghadiri Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) yang dirasmikan Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menyentuh peraturan baharu itu, Mohammad Hamdan berkata semua bangunan terpilih di seluruh negera diminta menubuhkan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK).

Menurutnya penubuhan OKK antara syarat-syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua banguan terpilih.

Walaupun peraturan baharu itu berkuat kuasa awal tahun ini, kerajaan memberi tempoh penangguhan pelaksanaannya, tambah beliau.

"Biasanya kita akan memberi masa untuk ia (peraturan baharu) ini dilaksanakan kerana orang ramai khasnya kumpulan sasaran masih perlu diperjelaskan lagi sebab pelaksanannya.

"Maka, peraturan baharu ini akan berkuat kuasa bermula 1 Januari tahun depan. Kita tidak mahu penguatkuasaan peratusan baharu ini satu kejutan kepada industri kerana mereka masih berdepan waktu sukar," jelasnya.

Advertisement