Anda di sini

Sistem penjagaan kesihatan negara perlu lebih banyak pelaburan: SCAN

Advertisement
Chris bercakap dengan Khairy semasa lawatan Menteri Kesihatan itu ke Hospital Umum Sarawak (HUS) baru-baru ini.
Chris bercakap dengan Khairy semasa lawatan Menteri Kesihatan itu ke Hospital Umum Sarawak (HUS) baru-baru ini.

KUCHING: Kerajaan persekutuan perlu membuat lebih banyak pelaburan wang dan sumber ke atas sistem penjagaan kesihatannya dalam usaha menjadi sebuah hab bagi penjagaan kesihatan di rantau Asia.

Presiden Pertubuhan Untuk Advokasi dan Kesedaran Kanser Kuching (SCAN) Chris Cheng berkata, apabila negara berkembang, sistem penjagaan kesihatannya harus sepadan dengan strategi dan matlamat pembangunannya.

"Peruntukan untuk penjagaan kesihatan perlu diteliti untuk memastikan akses yang saksama kepada penjagaan kesihatan berkualiti di negara ini.

"SCAN sangat berharap kerajaan tidak akan mengabaikan keperluan penjagaan kesihatan di Malaysia Timur dan komuniti kanser," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Menurutnya, ini sebagai menyahut seruan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang menyokong untuk memperuntukkan lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara untuk penjagaan kesihatan.

Dengan 95.3 peratus keluasan Semenanjung katanya, Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia namun belum mempunyai infrastruktur pengangkutan yang canggih dan strategik.

"Pembuat keputusan tertinggi di Kementerian Kesihatan mungkin tidak memahami sepenuhnya kesukaran di Sarawak yang menjadikan perkara menjadi lebih rumit.

"Mendesentralisasikan sistem penjagaan kesihatan kita ke peringkat negeri dengan institusi dan sumber yang sesuai adalah keutamaan yang penting.

"Desentralisasi dan autonomi yang disertakan akan membolehkan pembuat keputusan tempatan menangani masalah yang dihadapi secara tempatan dengan lebih baik, menghasilkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih saksama dan berkesan.

"Salah satu isu yang lebih mendesak di Sarawak ialah infrastruktur lama termasuk wad, dewan bedah, bilik rawatan dan juga bilik konsultasi yang sentiasa padat dan tidak kondusif untuk pesakit kanser.

"Malah, bangunan yang menempatkan Unit Onkologi di sini telah berusia lebih 30 tahun," tegasnya.

Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian katanya, sebelum ini mencadangkan penubuhan Hospital Kanser di Sarawak untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Kami berharap dalam Bajet 2023, peruntukan yang diperlukan akan dibuat untuk menjadikannya satu realiti. 

"Ini mestilah bukan sahaja sebuah bangunan fizikal, tetapi juga peralatan yang sesuai dan bajet penyelenggaraan yang mencukupi.

"Infrastruktur hanyalah sebahagian daripadanya. Peruntukan bagi sumber manusia juga tidak boleh diabaikan.

"Kerajaan juga mesti melatih lebih ramai pakar onkologi, terutamanya dari Malaysia Timur," tegasnya.
 

Advertisement