Anda di sini

ATB 2 rampas petrol seludup, tahan enam warga asing

Advertisement
 Semua suspek terbabit diserahkan kepada IPD Semporna untuk tindakan lanjut.
SERAH: Semua suspek terbabit diserahkan kepada IPD Semporna untuk tindakan lanjut.

SEMPORNA: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya merampas sebanyak 4,450 liter minyak petrol dipercayai cuba diseludup ke luar negara di kawasan perairan Pulau Denawan, di sini, Jumaat lalu.

Sebelum itu, Radar Coastal Surveilliance System (CSS) mengesan dua buah bot jongkong bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke sempadan antarabangsa, kira-kira jam 8.14 malam.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) di Markas ATB 2 (MK ATB 2) telah mengarahkan pasukan Quick Reaction Force (QRF) untuk memintas bot tersebut.

Katanya, kedua-dua bot jongkong tersebut berjaya ditahan, sebelum ditunda ke Jeti Si Amil untuk pemeriksaan terperinci.

“Hasil pemeriksaan awal di dalam kedua-dua bot berkenaan mendapati terdapat enam lelaki warga asing berumur 21 hingga 52 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut, turut ditemukan 178 tong mengandungi sebanyak 4,450 liter minyak petrol dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

 Minyak petrol yang berjaya dirampas dalam kejadian tersebut.
RAMPAS: Minyak petrol yang berjaya dirampas dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, semua warga asing terbabit ditahan atas kesalahan melanggar perintah berkurung dan melakukan aktiviti penyeludupan minyak petrol.

“Semua barang rampasan termasuk dua bot tersebut dianggarkan bernilai RM99,122.50 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Pasukan QRF kemudiannya menyerahkan semua suspek terbabit kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya.

Abdul Karim berkata, kejayaan itu menunjukkan keupayaan pengesanan terhadap sebarang pergerakan Contact Of Interest (COI) di kawasan tanggungjawab sama ada keluar atau masuk perbatasan negara.

“Pengawasan yang berterusan dalam semua keadaan atau situasi terus diperkasakan agar masa, keadaan dan ramalan tidak dieksploitasikan oleh mana-mana elemen yang terlibat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua anggota yang bertugas di POWB ATB 2, Radar CSS dan pasukan QRF atas kejayaan ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement