Anda di sini

1,890 benih ketam dilepaskan di Kota Marudu

Advertisement
 Wetrom menyempurnakan pelepasan benih ketam bakau di Kota Marudu.
PELEPASAN: Wetrom menyempurnakan pelepasan benih ketam bakau di Kota Marudu.

KOTA MARUDU: Sebanyak 1,890 benih ketam bakau dilepaskan bagi melestarikan alam sekitar serta pemuliharaan sumber di Kampung Marudu Laut, di sini, pada Rabu.

Program itu adalah anjuran Jabatan Ketua Menteri, Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Perikanan Sabah.

Majlis Pelepasan ketam tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom @ Mohd Fikri Bahanda. Turut hadir, Pegawai Perikanan Daerah Kota Marudu, Masrani Madun.

Pengarah IPMB UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Sitti Raehannah Muhammad Shaleh berkata program itu dilaksanakan antara lain bertujuan untuk memulihara populasi ketam bakau di daerah berkenaan.

Katanya, benih ketam yang dilepaskan adalah spesies Scylla tranquebarica (Ketam bakau atau ketam nipah sepit ungu) yang dihasilkan di Hatceri Krustasia IPMB.

“Benih yang dilepaskan bersaiz antara 5mm hingga 25mm lebar karapas dan berumur sekitar lapan minggu selepas penetasan di Hatceri Krustasia.

“Spesies itu dipilih kerana ia adalah ketam bakau yang dominan di perairan Sabah termasuklah di kawasan Kota Marudu,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 78 peratus populasi ketam bakau di Kota Marudu adalah Scylla tranquebarica, 13 peratus Scylla paramamosain ketam nipah sepit kuning dan lapan peratus Scylla olivacea ketam nipah sepit merah.

Raehannah berkata, program pelepasan benih ketam bakau itu adalah julung kali dilaksanakan di daerah ini.

“Kajian biologi ketam bakau pernah dilakukan oleh penyelidik dari IPMB di sini diketuai Prof. Madya Dr. Annita Yong Seok Kian pada tahun 2011 sehingga 2014.

“Bagi kawasan Teluk Marudu menunjukkan bahawa musim bertelur bagi ketam bakau di kawasan Kota Marudu adalah antara bulan Februari sehingga Mei.

“Bilangan ketam betina dilaporkan menurun pada bulan Mac dan Jun yang mana berkemungkinan proses pemijah berlaku pada masa ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Raehannah memaklumkan hasil kajian itu juga menunjukkan terdapat trend penuruan populasi ketam bakau di kawasan daerah ini.

“Maklumat tentang komposisi dan taburan spesies serta hasil tangkapan perikanan ketam bakau itu sangat berguna untuk pengurusan sumber perikanan ketam bakau di Sabah khususnya di kawasan tersebut.

“Justeru, adalah diharapkan agar program pelepasan benih ketam bakau ini akan diteruskan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

Untuk rekod, program pelepasan benih ketam IPMB telah dimulakan pada tahun 2019 yang menyaksikan benih ketam bakau dilepaskan di Sulaman Wetland dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah.

Pada Julai lalu, sebanyak 2,600 benih ketam bakau turut dilepaskan di Tasik Sitompok Kuala Penyu dengan kerjasama Jabatan Perikanan Sabah.

  • oleh
  • Advertisement