Anda di sini

Tanah runtuh jejas lalu lintas Jalan Kota Kinabalu- Sandakan

Advertisement

RANAU: Tanah runtuh di Jalan Kota Kinabalu- Sandakan berhampiran sebuah restoran menyebabkan laluan utama terbabit tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan pada jam 7.10 malam kelmarin.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia  (APM) cawangan Ranau yang juga Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan berkata sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan serta tindakan selanjutnya berhubung kejadian.

“Hasil pemantauan mendapati keadaan cuaca hujan sejak tengah hari menyebabkan kejadian tanah runtuh.

“Kejadian menyebabkan gangguan lalu lintas untuk semua jenis kenderaan selain menjejaskan sebuah restoran yang terletak di Kilometer 87.4 Bundu Tuhan di sini,” katanya.

Beliau berkata kerja pembersihan segera dijalankan pihak konsesi sehingga jam 9 malam.

“Selepas usaha pembersihan terbabit, satu lorong sudah boleh dilalui oleh pelbagai jenis kenderaan pada jam 9.45 malam kemudian,” katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan satu lagi kejadian tanah runtuh diterima dari pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sokid Bundu Tuhan.

“Hasil pemantauan kejadian menjejaskan beberapa kawasan termasuk Kampung Pinolobuh, Bundu Tuhan serta Jalan Kinasaraban- Bundu Tuhan.

“Pemantauan juga mendapati aliran air terlalu deras sehingga melimpah ke jalan raya menyebabkan batu-batu kecil terkumpul di jalan raya utama selain berlakunya tanah runtuh di laluan utama Kampung Pinolobuh,” katanya.

Beliau berkata setakat jam 10.15 malam, kerja pembersihan belum dapat dijalankan dan laluan tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil.

Tambahnya setakat ini kejadian bagaimanapun tidak memerlukan sebarang pemindahan penduduk dan pemantauan berterusan akan dijalankan dari semasa ke semasa di lokasi terlibat.

 Tanah runtuh yang menjejaskan laluan lalu lintas di Jalan Kota Kinabalu- Sandakan berhampiran Bundu Tuhan di sini.
RUNTUH: Tanah runtuh yang menjejaskan laluan lalu lintas di Jalan Kota Kinabalu- Sandakan berhampiran Bundu Tuhan di sini.
  • oleh
  • Advertisement