Anda di sini

Sibu Life Care Society lancar ambulans baharu pada 9 Okt

Advertisement
(Duduk, dari tiga kiri) Chew, Song, Tam (duduk kanan) dan ahli Sibu Life Care Society semasa sidang media pada Khamis.
(Duduk, dari tiga kiri) Chew, Song, Tam (duduk kanan) dan ahli Sibu Life Care Society semasa sidang media pada Khamis.

SIBU: Sibu Life Care Society akan mengadakan majlis pelancaran ambulans baharu pertubuhan pada 9 Oktober ini di pusat mereka di Jalan Geronggang di sini.

Setiausaha pertubuhan, Tam Ming Thai berkata, majlis pelancaran akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng pada jam 10 pagi.

"Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming dan Pengerusi Kehormat Sibu Life Care Society Dato Lau Ngie Hua dijemput sebagai tetamu istimewa.

"Perkhidmatan ambulans akan bermula pada 10 Oktober. Kami menyediakan perkhidmatan ambulans hanya untuk mereka yang memerlukannya sebagai pengangkutan dan bukan untuk kegunaan kecemasan.

"Untuk mereka yang memerlukan perkhidmatan ambulans, mesti membuat tempahan awal dengan kami. Buat masa ini, perkhidmatan ini untuk perjalanan sehala dalam bandar Sibu, orang ramai dikenakan bayaran RM80.

"Kadar bagi mereka yang berada di luar Sibu adalah berbeza bergantung kepada jarak. Mereka yang berminat menggunakan perkhidmatan ini boleh menghubungi talian hotline 011-35399556," jelasnya pada sidang media pada Khamis.

Sementara itu, Sibu Life Care Society akan mengadakan majlis makan malam mengumpul dana sempena pelancaran ambulans di Restoran Good Happiness pada 9 Oktober.

"Majlis makan malam ini adalah untuk mengumpul wang bagi ambulans baharu. Kos untuk ambulans (tanpa peralatan) adalah kira-kira RM145,000. Jadi, kami memerlukan sokongan daripada orang ramai," katanya.

Tam berkata, majlis makan malam kutipan derma itu akan disempurnakan oleh ADUN Dudong Datuk Seri Tiong King Sing.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II dan ADUN Pelawan Michael Tiang dan ADUN Bukit Assek turut dijemput sebagai tetamu istimewa.

Menurutnya, harga untuk satu meja makan malam kutipan dana ialah RM500.

Mereka yang berminat boleh menghubungi pengerusi Chew Chieng Kuong menerusi talian 019-8166838, pengerusi penganjur Kapitan Song Ik Sui (016-2183771) dan Wong Nguok Ngo (016-8928922).

"Antara program pada majlis makan malam itu termasuk cabutan bertuah, nyanyian dan persembahan tarian. Kami menyasarkan 70 meja malam itu. Kami telah menjemput Life Care Society dari Kuching, Bintulu, Miri, Sarikei, Meradong, Limbang, Julau dan Mukah," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement