Anda di sini

Sarawak akan tubuh tribunal strata: Abang Johari

Advertisement
Abang Johari (depan, tengah) bersama Dr Sim (depan,empat kiri) serta ahli SHEDA merakam kenangan selepas majlis perasmian Ekspo Hartanah SHEDA 2022. - Gambar Chimon Upon.
Abang Johari (depan, tengah) bersama Dr Sim (depan,empat kiri) serta ahli SHEDA merakam kenangan selepas majlis perasmian Ekspo Hartanah SHEDA 2022. - Gambar Chimon Upon.

KUCHING: Sarawak akan menubuhkan tribunal strata yang akan menguruskan surat hak milik strata pembeli rumah khasnya mengenai pertikaian antara pembeli dan pemaju.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu telah dibuat kerajaan bagi memperkasakan pengurusan surat hak milik strata dalam kalangan pembeli rumah di negeri ini.

"Kita sudah ada Tribunal Perumahan (Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak) dan kini kerajaan telah membuat keputusan untuk menubuhkan tribunal strata.

"Kita perlu menguruskan surat hak milik strata kepada pembeli rumah sekiranya berlaku pertikaian antara pembeli dan pemaju," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Hartanah SHEDA 2022 yang dihadiri Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, tribunal strata harus ditubuhkan bagi memperkemaskan urusan pemilikan strata, sekali gus menambah baik industri perumahan di negeri ini.

"Ini kerana anda sebagai pembeli rumah sudah mempunyai satu lagi tempat untuk menyelesaikan pertikaian, termasuk timbang tara antara pembeli dan penjual," jelasnya.

Mengenai perkara lain, Abang Johari berkata, kerajaan negeri telah berbincang dengan Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) yang akan mewujudkan sistem Transit Aliran Automasi (ART) di Kuching agar memastikan laluan perjalanan mereka melintasi skim perumahan.

Katanya, dengan demikian ia akan memudahkan pergerakan masyarakat yang menggunakan laluan ART yang dicadangkan.

"Ini bermakna pemaju perumahan juga boleh membina skim perumahan di mana sahaja yang ada dihubungkan dengan laluan ART ini.

"Sebagai pemaju, anda perlu mengemas kini dan mengikut kehendak pasaran terutamanya yang memudahkan pergerakan masyarakat setempat," jelasnya.

Abang Johari berkata, ada pihak yang tidak begitu gembira dengan cadangan pembinaan laluan ART di bandar raya ini atas alasan kononnya masa yang tidak sesuai.

Namun ujarnya, untuk membina atau merancang laluan ART tidak perlu menunggu masa yang sesuai kerana apa yang penting adalah menyediakan sistem kemudahan awam yang berkesan untuk rakyat.
 

  • oleh
  • Advertisement