Anda di sini

Rondaan di kawasan sekolah dipertingkat untuk kurangkan risiko kes culik

Advertisement
Azman (tengah) semasa bercakap dalam sedia tersebut hari ini.
Azman (tengah) semasa bercakap dalam sedia tersebut hari ini.

KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak akan meningkatkan lagi rondaan di kawasan sekolah untuk mengurangkan risiko kes culik.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya akan mengerakkan anggota dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Ronda Bermotosikal (URB) untuk penugasan tersebut.

Menurutnya, Pegawai Perhubungan Sekolah juga digerakkan secara aktif untuk melawat sekolah serta memberi kesedaran keselamatan kepada pelajar di sekolah.

"Dengan ini, kita juga telah mengerakkan anggota kita untuk melakukan rondaan di sekitar kawasan sekolah, terutamanya melalui Pegawai Perhubungan Sekolah.

"Justeru, saya minta agar masyarakat atau ibu bapa jangan panik sekiranya melihat anggota kita atau elemen-elemen polis di kawasan-kawasan sekolah," ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.

Azman berkata, semua pihak termasuk ibu bapa dan guru harus menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kenderaan yang mencurigakan di sekitar sekolah.

Beliau bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya berlaku kes atau cubaan culik di Sarawak seperti yang tular di media sosial.

"Untuk makluman, tiada kes seumpama itu berlaku di Sarawak buat masa ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat Sarawak supaya tidak menyebarkan berita berkaitan kes culik yang tidak benar di media sosial.

Tegasnya, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana yang didapati menyebarkan berita palsu dan tidak benar.

"Sila dapatkan kepastian daripada pihak polis terlebih dahulu," katanya.

Sungguhpun bergitu, beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk mempertingkatkan pengawasan dalam menjaga keselamatan kanak-kanak.

Bercakap mengenai kes baru-baru ini yang kononnya berlaku kes culik di sebuah sekolah di Kota Padawan, Azman memberitahu siasatan masih dijalankan.

"Guru besar sekolah terbabit ada membuat laporan polis menafikan bahawa insiden murid terbabit hampir diculik.

"Kertas siasatan dibuka berhubung perkara tersebut di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Ketua Jabatan Pengurusan IPD Sarawak SAC Mohamed Mokhsein Mohamed Zon dan Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah.
 

  • oleh
  • Advertisement