Anda di sini

Polis Sarawak sedia gerak anggota jika berlaku banjir

Advertisement
 

KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak bersedia menghadapi fasa peralihan monsun yang dijangka membawa ribut petir serta hujan lebat di negeri ini bermula 3 Oktober hingga akhir November ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), fasa peralihan dijangka membawa ribut petir pada lewat petang atau awal malam.

Risiko banjir kilat terutamanya di bahagian barat dan tengah negeri ini juga berkemungkinan berlaku semasa fasa peralihan.

"Kita telah menyediakan seramai 1,663 anggota polis terdiri daripada 174 pegawai yang akan digerakkan sekiranya berlaku kejadian banjir kilat di negeri ini," kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara.

Sebanyak 1,064 aset polis yang terdiri daripada ambulans, kenderaan pacuan empat roda, van, kereta, lori, bas, bot, jetski, pesawat dan dron akan disediakan dalam tempoh tersebut.

Aset sokongan seperti 54 set janakuasa elektrik dan 40 khemah turut berada dalam senarai barangan yang sedang disiapkan bagi kawasan yang dilanda banjir kilat.

Setakat ini, Sarawak telah mengenal pasti sebanyak 631 premis yang boleh dijadikan sebagai pusat pemindahan banjir bagi menempatkan seramai 188,360 individu atau mangsa banjir.

"Tugas utama kami semasa banjir kilat adalah untuk menjaga harta benda mereka yang terjejas banjir, mengumpul maklumat dan memberi bantuan kemanusiaan bersama-sama agensi lain sebelum, semasa dan selepas banjir," kata Azman.

Tambahnya, mereka yang tinggal di kawasan rendah dan sering dilanda banjir perlu bersiap sedia dengan memastikan dokumen penting mereka selamat.

"Sentiasa berwaspada jika terdapat sebarang amaran cuaca dan sila pindah ke pusat pemindahan sekiranya anda diarah berbuat demikian oleh pihak berkuasa," tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement