Anda di sini

MVK distruktur semula supaya lebih realistik

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang menstruktur semula Majlis Veteran Kebangsaan (MVK), supaya ia lebih berfokus dan realistik khususnya dalam mendepani keperluan serta isu semasa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang semakin mencabar.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata usaha penstrukturan itu, turut mempertimbangkan keperluan melibatkan pihak berkepentingan ketiga, seperti kementerian lain dan kerajaan negeri di dalam majlis, agar keputusan dibuat dapat menghasilkan kesan dan impak tepat buat veteran ATM.

Beliau berkata usaha membantu veteran ATM, tidak hanya boleh digerakkan di peringkat MINDEF tetapi dilaksanakan secara menyeluruh, dengan melibatkan kerjasama erat kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Dalam aspek perumahan veteran misalnya, saya sedang bekerjasama rapat dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican), untuk melihat bagaimana perancangan perumahan KPKT boleh mengambil kira lebih ramai veteran ATM, sebagai golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan di Wisma Pertahahan di sini semalam.

Sementara itu, mengenai permintaan veteran ATM untuk menambah baik pemberian elaun kepada pemegang Pingat Jasa Malaysia (PJM), kenaikan jumlah bantuan sara hidup kepada veteran tentera B40 dan pelarasan pencen, Hishammuddin berkata ia telah dibawa ke Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kelulusan.

Beliau menjelaskan perkara itu melibatkan implikasi kewangan yang besar dan memerlukan pertimbangan kementerian dan agensi lain.

“Sebagai langkah ke hadapan dan mengukuhkan lagi usaha ini, saya juga telah mencadangkan untuk menjemput Menteri Kewangan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai ahli tetap MVK, sebagai salah satu usaha untuk memberi ruang pihak berkenaan memahami secara lebih mendalam, isu serta keperluan dan perancangan MINDEF berkaitan veteran,” katanya.

Pada mesyuarat MVK itu, Hishammuddin turut memperkenalkan Mej Jen Zambery@Jefry Darus sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran yang baharu berkuat kuasa semalam. - BERNAMA
 

Advertisement