Anda di sini

HDAS diperluas kepada pembeli rumah pertama buat pinjaman dari bank komersial

Advertisement
Abang Johari (depan, tengah) bersama Dr Sim (depan, empat kiri) serta ahli SHEDA merakam kenangan selepas majlis perasmian Ekspo Hartanah SHEDA 2022 hari ini. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari (depan, tengah) bersama Dr Sim (depan, empat kiri) serta ahli SHEDA merakam kenangan selepas majlis perasmian Ekspo Hartanah SHEDA 2022 hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Pembeli rumah pertama yang telah membuat pinjaman dari mana-mana bank komersial atau institusi kewangan swasta kini layak memohon Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) RM10,000.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kini terdapat permintaan bagi mereka yang sudah mempunyai pinjaman daripada bank komersial untuk memohon skim terbabit.

"Selepas berbincang bersama Dr Sim (Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan beliau berkata kepada saya untuk mempertimbangkan perkara ini.

"Saya menyatakan, jika pembeli sudah mempunyai pinjaman daripada bank komersial mereka layak untuk mendapat deposit RM10,000 ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Hartanah SHEDA 2022 yang dihadiri Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, beliau bersetuju dengan permintaan daripada SHEDA untuk menyediakan RM10,000 sebagai deposit perumahan secara percuma kepada pembeli kali pertama yang membuat pinjaman daripada institusi kewangan swasta berkenaan.

Beliau berkata, deposit perumahan RM10,000 juga akan memberi manfaat kepada pemaju kerana mereka terjamin pembayarannya.

"Keputusan ini akan digunakan secara menyeluruh di bawah skim bantuan perumahan negeri," katanya.

Pada masa ini, RM10,000 hanya dinikmati oleh pembeli rumah, terutamanya mereka dalam kumpulan B40 dan M60, yang telah mengambil pinjaman daripada Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Perumahan.
 

  • oleh
  • Advertisement