Anda di sini

Taufan Super Noru: Lebih 200,000 penduduk Vietnam diarah berpindah

Advertisement
Seorang lelaki menunggang motosikal melepasi pokok-pokok yang tumbang berikutan laluan Taufan Super Noru di bandar Danang, Vietnam semalam. — Gambar AFP
Seorang lelaki menunggang motosikal melepasi pokok-pokok yang tumbang berikutan laluan Taufan Super Noru di bandar Danang, Vietnam semalam. — Gambar AFP

DANANG: Lebih 200,000 penduduk di Vietnam kelmarin berpindah ke tempat perlindungan tatkala Taufan Super Noru sedang menuju ke arah pantai tengahnya, dengan pengkaji cuaca meramalkan ia akan menjadi salah satu ribut terbesar yang melanda negara itu.

Hampir separuh daripada lapangan terbang, sekolah dan pejabat di beberapa wilayah Vietnam – termasuk bandar Danang yang pesat – telah ditutup dan penduduk bergegas mencari perlindungan sebelum ketibaan taufan itu semalam.

Selepas membadai Filipina awal minggu ini, di mana ia membunuh enam orang, Noru diramalkan akan mendarat di sini sebagai taufan super sebelum jam 11 pagi dan kemudian reda menjadi taufan kuat apabila ia menuju ke daratan tengah.

Pihak berkuasa kawalan banjir dan ribut Vietnam berkata kelajuan angin akan mencecah 160 kilometer sejam, bersamaan dengan kelajuan Taufan Xangsane yang membinasakan Danang pada 2006 dan mengorbankan 76 orang.

Pihak berkuasa telah memindahkan hampir 260,000 orang dari kediaman mereka, termasuk di bandar pelancongan popular Hoi An, di mana penduduk dibawa ke sekolah rendah.

“Saya mahu pergi. Rumah saya tidak kukuh. Saya khuatir bumbungnya boleh tercabut apabila taufan melanda,” kata Huynh Mua, sambil memegang beg plastik yang penuh dengan pakaian, selimut dan beberapa paket mi segera.

Lewat kelmarin, 300 rumah di wilayah pantai Quang Tri diterbangkan apabila angin bertambah kencang. Di Hue yang terletak berhampiran, pokok-pokok tumbang.

Di Danang, bandar ketiga terbesar di Vietnam, semua kedai dan hotel ditutup, manakala penduduk dilarang keluar di jalanan.

Kementerian Pertahanan telah mengerahkan kira-kira 40,000 tentera dan 200,000 anggota militia, dilengkapi dengan kenderaan berperisai dan bot sebagai persediaan untuk menjalankan operasi menyelamat dan memberi bantuan, kata media kerajaan.

Menurut data dari Pusat Amaran Taufan Bersama, yang terletak di Hawaii, Noru merupakan taufan besar yang keenam yang membadai Vietnam sejak 1945.

Pada Ahad and Isnin lalu, Noru telah melanda pulau Luzon, Filipina menumbangkan pokok-pokok, menyebabkan bekalan elektrik terputus dan membanjiri kawasan penempatan rendah.

Lima anggota penyelamat terbunuh ketika dikerah untuk membantu mangsa banjir, manakala seorang lagi lelaki maut ditimbus tanah runtuh. 

Pihak berkuasa menganggarkan tanaman bernilai kira-kira AS$2.4 juta musnah. — AFP 
 

Advertisement