Anda di sini

Sutra pukau lebih 2,000 penonton BAF 2022 di Labuan

Advertisement
Roslan (lima kiri), Syafiqah (kanan) penyusun muzik Sutra Fadly Hamdan (kiri) dan anggota Sutra tiba di Labuan untuk menggegar BAF 2022, baru-baru ini.
Roslan (lima kiri), Syafiqah (kanan) penyusun muzik Sutra Fadly Hamdan (kiri) dan anggota Sutra tiba di Labuan untuk menggegar BAF 2022, baru-baru ini.

LIMBANG: Kumpulan muzik dari Sarawak, Sutra memukau lebih 2,000 penonton di pentas Borneo Arts Festival (BAF) 2022 anjuran Perbadanan Labuan dengan persembahan muzik sape moden berkumpulan, baru-baru ini.

Pengasasnya Roslan Ismail, 51, berkata, Sutra yang dianggotai enam pemuzik tempatan dari Limbang dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang muzik tempatan turut mengetengahkan pemain sape wanita Sarawak, Syafiqah Yusop.

Beliau berkata, Sutra yang pertama kali menggegar pentas itu tidak menyangka sambutan luar biasa diterima kumpulannya ketika membuat  persembahan muzik sape moden.

"Ini pengalaman pertama saya di festival ini, satu pengalaman yang menyeronokkan dengan penonton yang ramai dan membawakan lagu yang memuas dan menghiburkan penonton," katanya kepada media pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya turut berbesar hati dapat berkongsi pentas sama dengan kumpulan pemuzik daripada Perbadanan Putrajaya dan persembahan daripada gabungan kumpulan pemuzik Sabah, Sarawak dan Labuan.

Roslan (dari kiri) Fadly, Syafiqah dan anggota Sutra Limbang sebelum melakukan persembahan.
Roslan (dari kiri) Fadly, Syafiqah dan anggota Sutra Limbang sebelum melakukan persembahan.

Roslan yang berkecimpung dalam industri muzik tanah air dan pernah menimba  pengalaman dalam bidang muzik di Brunei, Sabah, Sarawak, Vietnam, Singapura dan Semenanjung Malaysia sejak lebih 30 tahun, optimis BAF 2022 satu platfrom untuk Sutra melebarkan sayar ke peringkat lebih tinggi.

"Sutra bercadang untuk beraksi di festival lain dengan persembahan di peringkat lebih tinggi. Sebelum ini, cuma majlis-majlis biasa, belum pernah ke festival yang besar seperti BAF ini," katanya lagi.

Menurutnya, BAF 2022 mampu memberi peluang kepada kumpulan muzik tempatan untuk menyerlahkan bakat, selain mewujudkan kelestarian dan semangat kesenian dalam setiap acara dan seterusnya menyemarakkan lagi aktiviti kebudayaan dan kesenian dan muzik.

Katanya, BAF 2022 juga satu pertandingan menghimpunkan penyertaan kumpulan-kumpulan daripada luar Labuan yang melibatkan pelbagai lapisan peringkat umur, terutamanya daripada Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan tidak ketinggalan Semenanjung Malaysia.

Jelasnya lagi, terdapat juga penyertaan dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina dan secara tidak langsung, acara ini telah memenuhi penyertaan daripada negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina.

BAF 2022 diadakan di Kompleks Ujana Kewangan, Labuan selama tiga hari bermula 23 hingga 25 September lepas.

Pelbagai aktiviti diadakan  seperti pertandingan tarian kreatif Borneo, pertandingan 'tingkah geruh' dan pertandingan fesyen (busana kreatif nasional kostum Malaysia).

Terdapat juga pelbagai acara sampingan turut menarik perhatian pengunjung iaitu ekspresi seni yang dibawakan oleh persatuan seni visual Labuan (Lavista), persembahan mukun Seborneo, Borneo Music Fusion 2022, selain persembahan daripada kumpulan pemuzik daripada Perbadanan Putrajaya dan persembahan daripada gabungan kumpulan pemuzik Sabah, Sarawak dan Labuan.

Setelah dua tahun BAF menyepi akibat pandemik COVID-19, kini BAF 2022 dianjurkan semula dengan menawarkan hadiah kejohanan yang cukup besar bagi peringkat kebangsaan.
 

  • oleh
  • Advertisement