Anda di sini

Sepanyol layak ke peringkat separuh akhir Liga Negara UEFA

Advertisement
Pemain Sepanyol meraikan kemenangan mereka selepas menundukkan Portugal 1-0 pada perlawanan Liga Negara UEFA Liga A Kumpulan 2 di Stadium Municipal di Braga. — Gambar AFP
Pemain Sepanyol meraikan kemenangan mereka selepas menundukkan Portugal 1-0 pada perlawanan Liga Negara UEFA Liga A Kumpulan 2 di Stadium Municipal di Braga. — Gambar AFP

BRAGA: Gol lewat Alvaro Morata memastikan Sepanyol menewaskan Portugal 1-0 di sini pada Selasa, sekali gus melayakkan mereka ke peringkat separuh akhir Liga Negara UEFA.

Sepanyol memerlukan kemenangan untuk muncul juara Kumpulan 2 dalam Liga A tetapi bergelut mencari rentak sekali lagi sebelum Morata menjaringkan gol pada minit ke-88.

Sepanyol masih gagal menemui prestasi memberangsangkan menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar pada bulan November depan tetapi kemenangan sukar ini memberikan semangat yang dialu-alukan.

Portugal bermain lebih baik tetapi Sepanyol lebih menyerlah pada lewat permainan, dengan kemasukan beberapa pemain gantian, termasuk Nico Williams, yang mengumpan  bola kepada Morata untuk menjaringkan gol kemenangan.

“Apabila kami terpaksa berusaha, kami melakukannya,” kata Morata.
 
“Jika kami tewas, ia harus dengan memberikan segala-galanya dalam padang dan itulah yang kami lakukan.

“Saya masih ingat sikap pasukan, kami bersaing sehingga ke akhirnya. Dan Nico Williams, pada perlawanan kedua bersama skuad kebangsaan, adalah kunci utama dan saya menjaringkan gol.”

Sepanyol akan menyertai Itali, Croatia dan Belanda dalam perlawanan separuh akhir, yang akan berlangsung pada Jun 2023, walaupun perhatian kini lebih tertumpu kepada Piala Dunia 2022.

Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique melakukan rombakan sepenuhnya ke dalam skuad yang mengalami kekalahan pertama di tempat sendiri sejak 2018 ketika  menentang Switzerland pada Sabtu lepas, mengekalkan hanya empat pemain.

Morata dimasukkan untuk mengetuai jentera serangan dengan Luis Enrique menukar keseluruhan posisi tengah.

Penjaga gol Sepanyol, Unai Simon beraksi tangkas menepis cubaan Ruben Neves dan kemudian menafikan cubaan Diogo Jota.

Dengan Portugal semakin yakin, Bruno Fernandes melihat rembatannya sedikit tersasar.

Sama seperti ketika menentang Switzerland, Sepanyol gagal melakukan satu cubaan tepat ke pintu gol lawan dalam separuh masa pertama dan selepas Simon menepis cubaan Cristiano Ronaldo pada awal separuh masa kedua, Luis Enrique mengambil tindakan berani.

Dia memasukkan Pedri, Gavi dan Yeremy Pino dan memberikan Sepanyol lebih keyakinan ketika menyerang walaupun Portugal hampir memecah kebuntuan apabila pemain pertahanan Sepanyol Dani Carvajal hampir menjaring gol sendiri.

Pertukaran pemain memberikan Sepanyol lebih semangat dan keyakinan ketika melakukan serangan.

Carvajal mengumpan bola ke kotak penalti, dengan tandukan Williams kepada Morata membolehkannya menolak bola ke pintu gol untuk memastikan Sepanyol melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan.

Simon menyelamat Sepanyol sekali lag9i apabila menepis cubaan Ronaldo pada lewat permainan.

“Kami mempunyai banyak peluang, kami sedih kerana kami sememangnya mahu ke separuh akhir,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

“Ronaldo mempunyai tiga atau empat peluang yang dia biasa jaringkan tetapi tidak kali ini. Itu lumrah bola sepak.”

Ia adalah penamat mengecewakan buat Portugal, yang memulakan perlawanan dengan berada di tangga teratas kumpulan sementara Sepanyol berdepan kesukaran sepanjang kejohanan.

Selepas tewas kepada Switzerland dan seri dengan Portugal dan Republik Czech pada bulan Jun, gol kemenangan Morata sememangnya satu kelegaan buat Sepanyol.

“Ini adalah sukan hebat di mana kemenangan adalah satu penawar yang baik kepada sebarang kesedihan dan kemurungan,” kata Luis Enrique. — AFP
 

Advertisement